Oleh Mohd Neenatul Aizal
KUCHING: Petra Jaya boleh menjadi perintis Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) di negeri ini.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata rangkaian ITS sudah dilaksanakan di peringkat nasiona.
“Jadi bagaimana kita dapat perkenalkan. Mungkin Petra Jaya boleh jadi program perintis di Sarawak untuk kita melaksanakan ITS,” katanya.
Kemudahan infrastruktur di kawasan Parlimen Petra Jaya masih banyak yang perlu dibaiki dan ditambah baik.
Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata bagi tujuan itu beliau akan terus memberi komitmen bagi meningkatkan infrastruktur, pendidikan dan sosioekonomi di kawasan terbabit.
Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya berkata demikian selepas majlis Penyerahan MediaPads kepada pelajar sekolah bagi kawasan Tupong, Semariang dan Satok di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak di sini petang ini.
Antara projek ITS terutama di Lembah Klanh ialah Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorel.
Bagaimanapun, Fadillah tidak menjelas lanjut butiran ITS yang memungkinkan projek perintis dimulakan di Petra Jaya.
Beliau berkata kawasan Petra Jaya dari segi infrastruktur masih banyak perlu diperbaiki dan tambah baik.
“Saya akan memberi komitmen, terutamanya untuk meneruskan segala perancangan sebab di kawasan Parlimen Petra Jaya dari segi infrastruktur masih banyak perlu diperbaiki dan tambah baik.
“Memandangkan kita di kawasan bandar, sudah pasti salah satu cabaran ialah kesesakan lalu lintas. Sebab itu kita memerlukan perancangan, bukan sahaja menambah baik infrastruktur malah juga menggunakan teknologi untuk menguruskan trafik secara lebih efektif dan efisien,” katanya.
Selain itu, beliau juga fokus dari segi pendidikan dan bagaimana untuk bekerja rapat dengan pihak sekolah.
Katanya, tujuan itu untuk menanam semula semangat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“STEM diperlukan sebab negeri kita khususnya ingin beralih menjadi negeri maju dan salah satu fokus di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Pada 2030 kita disasarkan hendak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi. Kebanyakkan komponen strategi ini adalah tertumpu kepada bidang teknologi dan sains.
“Bukan sahaja kita memerlukan pelabur, tetapi yang lebih utama melahirkan sumber manusia yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang dapat diambil bekerja.
“Begitu juga rantaian nilai perniagaan dalam bidang yang kita fokuskan sama ada tenaga hijau atau ekonomi digital yang diusahakan oleh kerajaan Sarawak.
“Ini memerlukan jalinan kerjasama erat. Bukan sahaja di peringkat politik, apa yang lebih penting agensi pelaksana dan tenaga pengajar untuk sama-sama menggerakkan inisiatif ini,” katanya.
Fadillah berkata, salah satu cabaran juga ialah rumah mampu milik.
Sehubungan itu, beliau perlu meningkatkan sosioekonomi untuk penduduk sebab Petra Jaya adalah kawasan kos sara hidup tinggi.
“Saya perlu bantu bagaimana memikirkan cara meningkatkan pendapatan rakyat di Parlimen Petra Jaya khususnya,” katanya.