Peterpan dan peminat bernostalgia di RiTC 2026

Facebook
WhatsApp
PETERPAN menghiburkan peminat menerusi persembahan lagu-lagu popular mereka pada malam pertama Rock In The City (RiTC) 2026 di Waterfront Esplanade, Kuching, malam ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Peterpan menghidupkan kembali nostalgia peminat menerusi lagu-lagu popular mereka pada malam pertama konsert ‘Rock In The City’ (RiTC) 2026 yang turut menampilkan persembahan kugiran tempatan dan serantau di Waterfront Esplanade, di sini, malam tadi.

Festival itu menghimpunkan pemuzik dari Sarawak, Malaysia, Brunei dan Indonesia, dengan persembahan yang menghidupkan suasana sekitar pentas sepanjang malam.

Aksi malam itu dimulakan kumpulan rock tempatan, Post Mortem Education, sebelum diteruskan dengan persembahan Secret Signal dari Brunei yang tampil dengan aksi bertenaga, menghangatkan suasana menjelang kemunculan kumpulan utama dari Indonesia.

SECRET Signal dari Brunei menghiburkan peminat pada malam pertama Rock In The City (RITC) 2026. Foto Adele Rissa

Sorakan penonton semakin bergema apabila Peterpan mengambil alih pentas, membawakan deretan lagu popular yang pernah menjadi runut bunyi kepada satu generasi.

Antara lagu yang mengundang nyanyian bersama peminat termasuk Bintang di Surga, Mungkin Nanti, Menunggumu dan Ada Apa Denganmu, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia terhadap era kegemilangan kumpulan berkenaan.

Suasana semakin istimewa apabila penyanyi tempatan, Zah Amirul, membuat penampilan khas dengan menyampaikan Mimpi Yang Sempurna secara solo di pentas RiTC. 

ZAH Amirul membuat penampilan khas secara solo menerusi persembahan lagu Mimpi Yang Sempurna. Foto Adele Rissa

Penampilan Zah itu mendapat sambutan penonton sebelum Arda kembali ke pentas meneruskan persembahan Peterpan, menjadikan segmen berkenaan antara detik menarik malam pertama festival tersebut.

Persembahan Peterpan turut memperlihatkan bagaimana lagu-lagu yang pernah popular sejak beberapa dekad lalu masih mampu menyatukan peminat daripada pelbagai generasi menerusi nyanyian bersama dan sorakan sepanjang persembahan.

Sepanjang malam, peminat memenuhi kawasan hadapan pentas, menyanyi bersama dan mengabadikan persembahan artis pilihan mereka menerusi telefon bimbit.

Malam pertama RITC 2026 akhirnya berlangsung dalam suasana penuh tenaga dan nostalgia, dengan persembahan Peterpan serta penampilan khas Zah Amirul menjadi antara sorotan utama festival berkenaan.

Oleh Adele Rissa

Vokalis BPR Joey meninggal dunia hari ini

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) Johari Mat Rozekhi atau lebih dikenali sebagai Joey BPR, meninggal dunia di Hospital Kuala