SIMANGGANG: Persiapan untuk Pesta Benak Sri Aman 2024 sudah mula dirasai dengan pelbagai persiapan meskipun acara itu berbaki tiga minggu lagi.
Mulai Jumaat ini, Pesta Ria Sri Aman 2024 diadakan di bandar Simanggang bermula dari 8 November hingga 1 Disember ini.
Pesta Ria Sri Aman 2024 ini akan diadakan di belakang bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sri Aman dan beroperasi dari jam 5 petang hingga 11 malam sepanjang tempoh penganjurannya.
Hasil tinjauan hari ini mendapati para pekerja telah memulakan kerja penyediaan tapak dan peralatan permainan yang bakal disajikan untuk pengunjung pesta berkenaan sejak Isnin lepas.
Antara permainan untuk orang ramai nanti ialah Tunggangan Perahu ‘Pirate’, Roda ‘Ferris’, Tagada, permainan merebut hadiah dan tikam air tin minuman.
Selain itu, pengunjung bersempena Pesta Ria Sri Aman 2024 ini juga bakal disajikan dengan persembahan nyanyian oleh 24 artis rakaman Sarawak.
Sebanyak 12 daripada 24 artis itu, mengikut urutan tarikh persembahan bermula dari 8 November adalah Winnie Albert, Lucy M, Florence Lo, Maryline, Angela Lata Jua, Ranne Pat, Swayline, Alon Lupeng, Duna, Hailey, Jessie Michael, Rickie Andrewson.
Baki 12 artis lagi adalah Filbert Roxy, Remelly Rem, Johnny Aman, Sima Tawil, Sinty Shinta, Nayla Sari, Jessica Remaya, Pheobe Chleo, Achan, Linda dan Ricky El dengan Winnie Albert menjadi artis terakhir mempersembahkan lagu pada 1 Disember.
“Kami menyambut baik penganjuran Pesta Ria Sri Aman 2024 memandangkan ia bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk berhibur malah turut mempertingkat tahap pendapatan peniaga gerai makanan dan minuman di sini.
“Justeru, kami berharap acara Pesta Ria Sri Aman dapat diadakan semula pada tahun hadapan demi menyerikan lagi suasana malam dalam bandar ini pada setiap tahun,” kata seorang pengunjung iaitu Elison Lingoh.
Oleh VALENTINE NGUMBANG