LIVERPOOL berpeluang menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, selepas polis membuat pusingan U berkenaan gelanggang berkecuali.
Laporan sebelum ini mendakwa polis meluahkan kebimbangan kemungkinan penularan Covid-19 di kalangan peminat yang berkumpul di luar stadium ketika perlawanan penentuan kejuaraan Liverpool itu.
Ia bermakna perlawanan kedua yang mana The Reds menerima kunjungan Crystal Palace pada 24 Jun akan dilangsungkan di Anfield.
Keputusan dibuat selepas rundingan lebih seminggu antara semua pihak yang terbabit dalam Liga Perdana, polis, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan serta wakil-wakil keselamatan.
Skuad kendalian Jurgen Klopp yang menanti saat ditabalkan juara selepas kali terakhir mengecapinya pada 1990, memiliki baki sembilan perlawanan dan mendahului selesa di puncak liga dengan 25 mata mengatasi pencabar terdekat, Manchester City.
Mereka hanya memerlukan dua kemenangan atau enam mata untuk mengesahkan kejuaraan liga.
The Reds dijangka mampu mengesahkan kejuaraan di Everton pada 21 Jun sekiranya Manchester City tewas kepada Arsenal pada 17 Jun.
Liverpool akan dimaklumkan pada Isnin ini sama ada perlawanan menentang Everton akan berlangsung di Goodison Park atau gelanggang berkecuali selepas lawan setempat itu mengemukakan permohonan aksi perlawanan pembukaan di gelanggang sendiri.
Dalam pada itu, Harry Kane berharap Tottenham mampu memanfaatkan kelebihan hanya beraksi dalam saingan Liga Perdana apabila menyambung perebutan tempat bagi Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Saingan liga utama Inggeris dijadualkan disambung semula pada 17 Jun, dengan skuad Spurs bimbingan Jose Mourinho melayan kunjungan bekas kelabnya, Manchester United dua hari kemudian.
Tottenham mempunyai sembilan perlawanan untuk cuba menempatkan diri dalam kelompok UCL.
Anak buah Mourinho ketinggalan tujuh mata daripada empat pasukan teratas, tapi kedudukan kelima sudah memadai jika rayuan Manchester City mengenai hukuman penggantungan dua musim beraksi di Eropah ditolak.
Menang kembali perlawanan pertama mereka dan Spurs hanya berbeza satu mata di belakang pasukan di tangga kelima, United.
Pencabar Tottenham yang lain turut mempunyai beberapa perlawanan dengan Manchester United bagi saingan Piala FA dan Liga Europa, Chelsea dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara, Wolves di Liga Europa serta Sheffield United dalam Piala FA.
“Dari pandangan kami yang tidak berada dalam mana-mana kejohanan, sememangnya kami mempunyai sembilan perlawanan tumpuan untuk mengumpul sebanyak mana mata yang mungkin dan cuba memperoleh tempat di Liga Juara-Juara.” kata Kane kepada Sky Sports.
“Jadi sekurang-kurangnya semua tumpuan kami terarah kepada satu kejohanan.”
Kane dijangka cergas untuk beraksi susulan hampir enam bulan berehat berikutan kecederaan hamstring yang serius.-AFP