
KUCHING: Pesta Budaya Mazu Borneo ke-3 terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pelancongan budaya serta mempromosikan Sarawak sebagai destinasi masyarakat berbilang kaum dan budaya di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata pesta tersebut bukan sekadar acara kebudayaan, malah menjadi platform menghimpunkan pengikut dan pencinta budaya Mazu dari pelbagai negara untuk datang ke Sarawak.
“Acara seperti ini mampu membawa nama Sarawak ke peta dunia, khususnya di negara yang amat menghormati budaya Mazu sejak sekian lama.
“Sarawak mempunyai pelbagai etnik dan budaya. Jadi, pengunjung yang datang bukan sahaja dapat menyaksikan pesta Mazu, tetapi turut berpeluang mengenali budaya lain yang terdapat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Pesta Budaya Mazu Borneo ke-3 di atas kapal persiaran Sungai Sarawak, malam ini.
Beliau yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan budaya Mazu mempunyai pengaruh besar di negara seperti China dan Taiwan selain terus diamalkan dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong penganjuran acara kebudayaan kerana ia bukan sahaja memperkukuh industri pelancongan, malah mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum dan budaya,” ujarnya.

Ting turut berharap pesta berkenaan dapat dijadikan antara acara ikonik Sarawak yang mampu menarik lebih ramai pelawat dari seluruh dunia pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Pesta Budaya Mazu Borneo, Sih Hua Tong berkata budaya Mazu bukan sekadar berkaitan kepercayaan masyarakat pelaut, tetapi turut membawa nilai kemanusiaan, kebajikan dan perpaduan yang masih relevan dalam kehidupan moden hari ini.
Katanya, masyarakat Cina yang berhijrah ke Sarawak suatu ketika dahulu, khususnya golongan nelayan dan pelaut, membawa bersama budaya serta kepercayaan terhadap Mazu yang dikenali sebagai dewi laut.
“Mazu bukan sahaja dikenali dalam kalangan masyarakat Cina, malah turut dihormati oleh pelaut dari pelbagai negara.
“Budaya ini menekankan nilai seperti membantu orang lain, menjaga kebajikan masyarakat dan menolong golongan yang memerlukan,” katanya.
Tambahnya, nilai seperti saling membantu tanpa mengira kaum, agama dan budaya amat penting untuk terus diterapkan dalam masyarakat majmuk seperti Sarawak.
Oleh Adele Rissa