
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil maklum hasrat Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang menyatakan minat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Bagaimanapun, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata perkara tersebut masih belum dibincangkan secara rasmi memandangkan persiapan ke arah PRN belum berada pada peringkat semasa.
“Kita belum di peringkat itu lagi, itu pendiriannya, tapi kita ambil kira lah.
“Motor belum berjalan, belum perlulah nak berbincang dulu, tapi kita ambil maklum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Semalam, Nanta Linggi dilaporkan menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRN Sarawak akan datang sekiranya diberikan peluang dan kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya itu memaklumkan hasratnya ingin bertanding di salah satu kerusi di bawah Parlimen Kapit bagi menabur khidmat politiknya di kancah politik negeri ini.
Kenyataan itu sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan penglibatan lebih aktif Ahli Parlimen Kapit tersebut dalam politik negeri selepas tiga dekad berada di pentas politik Persekutuan.
Oleh Shahrul Qaizat