SIMANGGANG: Laluan sungai di Batang Lupar akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada acara tahunan Regata Benak 2024 edisi ke-21 yang bermula Jumaat ini, 29 November hingga 1 Disember nanti.
Menurut notis yang dikeluarkan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), laluan sungai yang akan ditutup bermula dari Dermaga Sri Aman hingga ke Taman Tebingan Sungai Batang Lupar di sini.
Jarak laluan yang akan ditutup adalah sejauh 2.3 kilometer (km) bermula jam 8 pagi hingga 5 petang sepanjang tempoh berlangsungnya sambutan temasya berkenaan.
LLS menasihatkan pengguna supaya memperlahankan kelajuan bot atau kapal mereka dan berhati-hati ketika menghampiri kawasan terbabit.
“Orang ramai juga diminta untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran acara dan mengelakkan berlaku sebarang insiden tidak diingini.
“Sebarang kesulitan yang timbul akibat penutupan ini amat dikesali. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi LSS,” katanya.
Sejumlah 31 pasukan bakal bersaing merebut kejuaraan pada acara Regata Pesta Benak Sri Aman 2024 yang di Sungai Batang Lupar dekat ini.
Acara regata bakal menjadi tumpuan utama dalam kalendar tahunan Pesta Benak Sri Aman yang terkenal dengan kehadiran fenomena gelombang benak yang uniknya di Sungai Batang Lupar, Sri Aman.
Sementara itu, sembilan laluan jalan raya dalam kawasan bandar Simanggang telah ditutup bermula hari ini bagi memberi laluan untuk aktiviti jualan Bazaar Ria sempena pesta itu.
Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) melalui notisnya menyatakan sembilan laluan itu adalah Jalan Club, Jalan Main Bazaar, Jalan Kapitan, Jalan Market, Jalan Tengah, Jalan Kecil, Jalan Sabu, Jalan Council dan Jalan Sim Kim.
“Semua laluan terbabit akan ditutup sehingga 1 Disember ini. Langkah ini bagi memastikan kelancaran aktiviti sempena Pesta Benak, yang dijangka menarik ramai pengunjung.
“Pihak kami memohon kerjasama semua pihak untuk mematuhi arahan dan menggunakan laluan alternatif yang disediakan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Untuk maklumat lanjut katanya, orang ramai boleh menghubungi Pihak Berkuasa Tempatan atau merujuk kepada papan tanda dan pengumuman terkini yang disediakan di lokasi terbabit.
Pesta Benak Sri Aman 2024 edisi ke-21 membuka tirainya Jumaat ini dengan 16 acara secara berperingkat.
Oleh VALENTINE NGUMBANG