KUCHING: Seramai 163 peserta dari kontinjen Yayasan Sarawak bakal berentap pada temasya Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) Ke-14, Sarawak 2022 yang diadakan di Kuching bermula 10 hingga 19 Februari ini.
Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, semangat berpasukan perlu ditekankan dalam kalangan peserta yang mewakili negeri pada temasya kali ini.
“Kita perlu memupuk semangat berpasukan dan kesukanan antara pasukan supaya semua yang terlibat lebih fokus memainkan peranan masing-masing.
“Objektif kita sudah tentu memperoleh kemenangan, justeru semangat ini perlu dikekalkan.
“Kesemua peserta yang terlibat dalam pertandingan sukan akan datang perlu menjaga imej negeri, selain melakukan yang terbaik.
“Setiap wakil negeri yang ikut serta kelak perlu bertanggungjawab untuk menjaga nama baik Sarawak selaku tuan rumah bagi acara tersebut.
“Sarawak dipandang tinggi oleh negeri-negeri lain. Mereka menyanjungi kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Oleh itu, kita yakin adanya semangat kesukanan yang tinggi mampu membawa nama Sarawak dengan baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, bendera kontinjen Yayasan Sarawak telah diserahkan oleh Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki kepada ketua kontinjen Yayasan Sarawak, Noranne Adam Assim di Dewan Jamilah, Yayasan Sarawak, pagi ini.
Untuk rekod, PESAYA merupakan pertandingan sukan dwitahunan antara semua yayasan-yayasan negeri dalam Malaysia yang telah diwujudkan sejak tahun 1991.
Temasya kali ini menyaksikan sebanyak 13 buah kontinjen negeri akan mengambil bahagian dalam 15 jenis sukan yang dipertandingkan.
Antara negeri-negeri yang mengambil bahagian dalam kejohanan ialah Johor, Kedah, kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Sarawak sebagai tuan rumah.
Sehubungan itu, 15 jenis sukan yang dipertandingkan ialah bola sepak, badminton, bola baling, bola jaring, bola tampar, tenpin boling, dart, e-sukan, futsal, golf, karom, petanque, ping pong dan sepak takraw.
oleh Mohd Neenatul Aizal