JAKARTA: Sebuah pesawat Trigana Air milik Indonesia tergelincir di Lapangan Terbang Kamanap Serui di provinsi Papua pada pagi Isnin.
Tiada korban jiwa dilaporkan, menurut Xinhua.
Timbalan Pengurus Wilayah Trigana Air, Irwan Rochendi, seperti dilaporkan media tempatan, menyatakan insiden itu berlaku pada 8.35 pagi waktu tempatan.
Pesawat itu membawa 42 penumpang, termasuk seorang bayi, bersama enam kru.
Kapten Lalu Yuniza, pengarah keselamatan, sekuriti, dan kualiti syarikat penerbangan itu, berkata pesawat berada di luar kawasan lapangan terbang apabila ia tergelincir dari sisi kiri landasan ke arah selatan sejauh kira-kira 20 meter.
Beliau turut memaklumkan tiada laporan mengenai punca kemalangan itu setakat ini.
“Kami masih menunggu maklumat daripada juruterbang tentang bagaimana dan mengapa pesawat tergelincir,” katanya, sambil menambah kejadian itu menyebabkan kerugian besar kerana pesawat mengalami kerosakan teruk.– BERNAMA-XINHUA
Gambar
Pesawat penumpang Trigana Air tiba di lapangan terbang Jayapura. – Foto AFP