LITUANIA: Ketua polis Lithuania berkata kepada pemberita pada Isnin bahawa serangan pengganas tidak boleh diketepikan sebagai punca pesawat kargo terhempas berhampiran lapangan terbang Vilnius awal pagi tadi, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Ini adalah satu daripada versi yang perlu disiasat dan disahkan. Masih banyak siasatan yang perlu dilakukan,” kata Arunas Paulauskas pada sidang media.
Siasatan di tempat kejadian, pengumpulan bukti dan maklumat serta objek mungkin akan mengambil masa seminggu. Paulauskas berkata, “Jawapan ini tidak akan diperoleh dengan cepat.”
Ketua Perkhidmatan Penyelamat Lithuania Renatas Pozela, berkata pada sidang media bahawa pesawat itu terhempas beberapa kilometer dari lapangan terbang, terbabas beberapa ratus meter dan serpihannya mengenai sebuah bangunan kediaman.
Pesawat itu adalah pesawat kargo yang diterbangkan untuk DHL dan telah berlepas dari Leipzig, Jerman timur.
Kediaman dua tingkat itu mempunyai empat flat dan tiga keluarga tinggal di sana. Semua 12 penghuni selamat, kata Pozela.
Kebakaran pesawat berjaya dipadamkan dan tidak lagi merebak.
Jurucakap Perkhidmatan Penyelamat Lithuania, bercakap kepada agensi berita Lithuania Elta, berkata pesawat itu musnah sepenuhnya akibat kebakaran.
Enam jentera bomba dan sebuah kenderaan pengangkut air berada di tempat kejadian dan pusat penyelarasan menyelamat disediakan.
— BERNAMA-dpa