SEOUL: Sebuah pesawat yang membawa 181 orang terhempas di Lapangan Terbang Muan, Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap pada Ahad.
Menurut Yonhap, pesawat itu membawa 175 penumpang dan enam anak kapal. Setakat ini, 28 orang dilaporkan maut manakala jumlah yang cedera belum diketahui.
Nahas berlaku ketika pesawat Jeju Air yang membawa 175 penumpang dan enam anak kapal dalam penerbangan dari Thailand itu mendarat di lapangan terbang di selatan negara itu.
Menurut laporan awal, dua individu ditemui masih hidup ketika misi menyelamat diteruskan, lapor Yonhap.
Seorang pegawai lapangan terbang yang dipetik Reuters berkata, pihak berkuasa sedang berusaha menyelamatkan mangsa di bahagian ekor pesawat.
Gambar yang dikongsi media tempatan menunjukkan asap dan api marak membakar sebahagian pesawat tersebut.
Pemangku Presiden, Choi Sung-mok, yang dilantik sebagai pemimpin sementara negara pada Jumaat selepas presiden terdahulu dipecat susulan krisis politik, mengarahkan usaha menyelamat dilakukan secara menyeluruh, menurut pejabatnya.
Laporan awal menyebut nahas dipercayai berpunca daripada ‘pertembungan dengan burung yang menyebabkan kerosakan pada gear pendaratan’ ketika pesawat cuba mendarat di lapangan terbang yang terletak di barat daya negara itu.
Jurucakap Jeju Air memaklumkan syarikat penerbangan itu sedang menyemak laporan berkenaan.
Pihak penyelamat sedang memindahkan penumpang dari bahagian belakang pesawat, lapor Yonhap yang memetik kenyataan jabatan bomba.
Satu gambar menunjukkan bahagian ekor pesawat terbakar di tepi landasan, dengan anggota bomba dan kenderaan kecemasan kelihatan di lokasi kejadian. – AFP