KUCHING: Sepanjang 61 tahun pembentukan Malaysia, Sarawak terus melangkah maju dan berdaya saing dalam pelbagai bidang bagi mengukuhkan dan seterusnya mentransformasikan ekonomi Sarawak ketika dunia berada dalam persimpangan untuk mula beralih kepada tenaga bersih dalam usaha menangani perubahan iklim.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Wilayah Sarawak yang bebas daripada kuasa asing enam tahun kemudian telah melalui pelbagai saat getir yang tersisip dalam lipatan sejarah ketika meraih kemerdekaan dari pihak British termasuk fasa-fasa rundingan dan referendum yang disusuli penyerahan kuasa untuk mentadbir Sarawak kepada anak Sarawak sendiri pada 22 Julai, 1963.
“Malaysia adalah sebuah keluarga besar yang menjaga kepentingan semua rakyat pelbagai kaum dan agama sejajar dengan semangat setia kawan para pemimpin terdahulu yang telah berjuang untuk memerdekakan Malaysia daripada kuasa asing.
“Di Malaya pada 1957, para pemimpin Melayu, India dan Cina telah bergabung tenaga untuk menuntut kemerdekaan daripada pihak British. Di Sarawak pula, para pemimpin Dayak, Cina dan Melayu telah berganding bahu untuk membebaskan Sarawak daripada pentadbiran British,” katanya dapam perutusan khas sempena Hari Kebangsaan ke-67 yang disambut esok.
Abang Johari berkata, Malaysia juga boleh diibaratkan sebagai sebuah keluarga besar yang menjaga kepentingan wilayah-wilayahnya di tengah-tengah kancah serantau dan antarabangsa untuk mewujudkan suasana kondusif kepada pembangunan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut.
“Pada ketika ini, tumpuan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjurus ke arah dasar penjanaan ekonomi mapan berteraskan sumber lestari dan berteraskan teknologi.
“Seawal 2017, Sarawak telah mengorak langkah untuk membangunkan ekonomi digital disusuli inisiatif ke arah ekonomi hidrogen, pembangunan sumber lestari dan tenaga bersih, dan kini mula meneroka inisiatif untuk membangunkan industri cip sebatian dan aeroangkasa di samping usaha ke arah penghiliran sumber minyak dan gas,” katanya.
Selepas dunia dilanda dengan begitu teruk oleh wabak Covid-19, katanya, kerajaan GPS Sarawak terus mengambil langkah berani dan proaktif dengan pelaksanaan dasar Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) pada 2023 sebagai landasan utama ke arah menjadikan Sarawak sebagai kawasan maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Pada asasnya, PCDS 2030 mempunyai tiga tonggak utama, yang memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak.
“Kini Sarawak terus menerajui cabang ekonomi baharu dan menjadi rujukan kepada kawasan-kawasan lain di dalam dan luar negara. Sarawak mampu bergerak pantas dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini kerana keadaan sosial dan politik yang agak stabil,” katanya.
Justeru, sempena Hari Kebangsaan pada tahun ini beliau menyeru kepada rakyat Sarawak supaya semua terus bergerak seiringan untuk membina masa depan yang lebih cemerlang untuk Sarawak dan juga untuk Malaysia.
“Dengan semangat ‘Segulai, Sejalai’ dan setia kawan, saya yakin bahawa Sarawak dan Malaysia akan terus bergerak menjadi kawasan yang disegani dan disegani di rantau ini dan dihormati oleh masyarakat dunia,” katanya.
Pada tahun ini, tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ telah diangkat sebagai tema rasmi bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 2024 sebagai tema yang mengajak rakyat untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan dan kebebasan sebagai rakyat sebuah negara berdaulat dan merdeka.
Oleh NUR AIN OTSMAN