KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dalam perutusan Hari Malaysia 2024, menasihati seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu dan menghargai sejarah pembentukan negara yang kini genap berusia 61 tahun.
Beliau menekankan bahawa perpaduan adalah asas utama kepada kemajuan negara, dan usaha untuk mengintegrasikan masyarakat berbilang kaum, budaya dan kepercayaan dari pelbagai wilayah merupakan cabaran besar.
Katanya, melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), penggabungan antara Malaya, Sarawak dan Sabah telah menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berkembang dengan seimbang.
“Dokumen-dokumen perlembagaan seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah roh dan semangat yang melambangkan asas pembentukan Malaysia.
“Dokumen-dokumen tersebut, yang dimeterai ketika penubuhan Malaysia, harus dihormati dan tidak dipertikaikan.
“Sebagaimana fakta sejarah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, begitu juga penubuhan Malaysia pada 1963 berasaskan dokumen-dokumen perlembagaan yang telah disemadikan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia.
Wan Junaidi turut menggesa rakyat untuk menghormati sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang telah menyatukan tiga wilayah tersebut dalam satu negara yang kukuh.
Mengakhiri ucapannya, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus menjaga keharmonian dan mengelakkan perbalahan yang boleh merosakkan perpaduan yang telah lama terbina.
“Saya dan isteri serta seluruh ahli keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia, di mana sahaja anda berada. Dirgahayu Malaysiaku,” katanya.