
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah mengumumkan peruntukan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Daerah Meradong bagi menyokong aktiviti pendidikan sepanjang 2025.
Koung Hiing membuat pengumuman tersebut semasa menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Daerah Meradong yang diketuai pengerusinya, Chiew Hua Kin bersama beberapa guru besar sekolah rendah, semalam.
Katanya, jalinan kerjasama yang erat antara persatuan dan pemimpin setempat amat penting bagi memastikan program pendidikan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya amat menghargai usaha persatuan ini dalam meningkatkan kualiti pendidikan di Meradong dan saya berbesar hati untuk terus menyokong aktiviti yang dianjurkan,” katanya.
Selain itu, Koung Hiing turut meluangkan masa meneliti beberapa surat permohonan daripada persatuan berkenaan yang mengandungi cadangan program dan aktiviti pendidikan bagi tahun ini.
Beliau memberi jaminan bahawa sokongan penuh akan diberikan untuk memastikan aktiviti yang akan dilaksanakan itu dapat dijayakan dengan baik.
Katanya, dengan adanya aktiviti tersebut, ia adalah peluang terbaik untuk para guru berkumpul dan bertukar pandangan demi kemajuan pendidikan di Daerah Meradong.
Oleh Earl Anek