LUNDU: Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Gading Lundu mengagihkan hasil pertanian kepada para barisan hadapan di kawasan Lundu yang bertugas dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19, semalam.
Pengagihan disempurnakan melalui Pusat Khidmat Tanjong Datu kepada barisan hadapan dari pelbagai jabatan dan agensi berkaitan yang bertugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hasil tani yang diagihkan termasuk buah-buahan segar tempatan seperti tembikai dan kelapa sebagai bekalan makanan mereka yang bertugas.
Terdapat 12 jabatan dan agensi yang menerima sumbangan hasil tani adalah Hospital Daerah lundu, Klinik Kesihatan Sematan, Klinik Kesihatan Sampadi, Klinik Kesihatan Stoh dan Balai Polis Lundu.
Turut menerima adalah Bomba Lundu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Telok Melano, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Telok Melano, Majlis Daerah Lundu, Pejabat Daerah Lundu, Pejabat Daerah Kecil Sematan dan Jabatan Pertanian Daerah Lundu.
Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu Fatimah Abdullah yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 4,503 ketua isi rumah dan 67 buah kampung termasuk kuarters Kerajaan dan Perumahan di Tanjong Datu telah menerima sumbangan bekalan makanan dalam tempoh PKP bermula 30 Mac lalu.
Sumbangan adalah daripada Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan juga dari Ahli Parlimen Santubong merangkap Menteri Keusahawanan dan Koperasi Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sementara itu, Jamilah turut telah memberikan sumbangan peribadi bermula 26 hingga 29 Mac lalu iaitu sebanyak 273 sumbangan kepada Ketua Isi Rumah.
Penghantaran telah di hantar secara berperingkat ke tiga zon di Tanjong Datu iaitu Sampadi, Lundu dan Sematan.