KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan serta penambahbaikan industri balak negeri itu supaya dapat diurus secara mampan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata ini termasuk memperkenalkan spesies tanaman baharu yang lebih efisyen dan mampan seperti penanaman pokok balak jenis Paulownia.
Jelasnya pokok Paulownia adalah pokok balak yang mampu membesar dengan cepat dan boleh dipotong (dituai) dalam masa empat ke lima tahun.
“Paulownia boleh hidup subur, sesuai dengan tanah kita, dan dengan teknologi serta baja yang baik, ia boleh tumbuh dengan baik. Pokok ini juga boleh tumbuh dengan cepat. Produk kayu (melalui pokok ini) untuk dibuat perabot serta rumah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan makmal tumbuhan Paulownia milik TSG Green Sdn Bhd di sini, semalam.
Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak juga boleh mencontohi negara ‘Scandinavia’ yang mengamalkan pengurusan industri berasaskan kayu secara mampan.
“Di Norway dan Finland mereka tanam pokok pine, mereka mempunyai industri berasaskan kayu yang baik dan bahan mentah mereka berasal dari hutan buatan (planted forest),” katanya.-Bernama