Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pertandingan tulisan tangan pupuk kesabaran dan disiplin murid di era digital
  • Utara
  • WILAYAH

Pertandingan tulisan tangan pupuk kesabaran dan disiplin murid di era digital

Utusan Sarawak 4 hours ago
RAKAM kenangan, Johnny pang bersama persatuan, ibu bapa dan peserta sempena Pertandingan Tulisan Tangan di SJK(C) Chung Hua Bintulu, Tanjung Batu, semalam.

BINTULU: Pertandingan Tulisan Tangan (Hard Pen) anjuran Pemuda dan Wanita Persatuan Chung Hua Bintulu yang berlangsung di SJK Chung Hua Tanjung Batu hari ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat murid, malah menerapkan nilai kesabaran, ketelitian dan disiplin dalam kalangan generasi muda.

Pertandingan itu disertai murid yang terdiri daripada ahli dan anak ahli persatuan, selain murid bukan Cina dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sekali gus mencerminkan semangat inklusif dalam memperkukuh hubungan komuniti menerusi pendidikan.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.

Dalam ucapannya, beliau berkata walaupun masyarakat kini semakin bergantung kepada teknologi digital dan peranti elektronik, kemahiran menulis tangan masih mempunyai peranan penting dalam membentuk sahsiah seseorang.

Menurutnya, pertandingan seperti itu bukan sekadar menilai kekemasan tulisan, malah menguji tahap tumpuan, kesabaran dan disiplin peserta.

“Tulisan tangan bukan sekadar menghasilkan tulisan yang cantik atau kemas. Ia mengajar anak-anak supaya lebih sabar, teliti dan berdisiplin. Untuk menghasilkan tulisan yang baik memerlukan latihan berterusan serta tumpuan yang tinggi,” katanya.

Johnny Pang berkata proses pembelajaran menulis juga mempunyai persamaan dengan kehidupan, apabila setiap kesilapan perlu dijadikan peluang untuk memperbaiki diri dan terus maju.

SUASANA sekitar Pertandingan Tulisan Tangan yang berlangsung di SJK(C) Chung Hua Bintulu, Tanjung Batu, semalam.

“Apabila kita tersilap menulis, kita membetulkannya dan terus menulis. Begitu juga dalam kehidupan. Kesilapan bukan alasan untuk berhenti, tetapi peluang untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan penyertaan yang menggalakkan, yang menurutnya membuktikan masih ramai ibu bapa dan murid menghargai kepentingan kemahiran asas walaupun berada dalam era digital.

Beliau berharap lebih banyak persatuan dan organisasi masyarakat akan terus menganjurkan program berteraskan akademik dan kebudayaan bagi membantu melahirkan generasi muda yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan, sahsiah dan keyakinan diri.

“Kejayaan seseorang anak bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga melalui pembentukan minat, keyakinan diri serta nilai-nilai murni,” ujarnya.

Beliau berkata pertandingan itu juga diharap dapat memupuk minat terhadap seni tulisan tangan serta menggalakkan peserta untuk terus meningkatkan kemahiran walaupun tidak berjaya pada pertandingan kali ini.

Oleh Faizah Muzidi

Continue Reading

Previous: Petir sambar saluran pengudaraan, cetus kebakaran luar pesisir Miri
Next: Bomba Sarikei alih pokok tumbang berhampiran sekolah menengah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.