
BINTANGOR: Pertandingan Akademik dan Bakat Semua Sekolah Rendah Cina Sarawak 2026 kali ke-32 bukan sahaja menjadi platform mencungkil potensi murid, malah memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, kreatif dan berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran pertandingan tersebut membuktikan komitmen berterusan warga pendidikan Cina dalam memperkasakan pembangunan modal insan melalui pendidikan yang berkualiti.
“Pendidikan merupakan asas kepada pembangunan negara, manakala pendidikan bahasa Cina merupakan antara komponen penting dalam sistem pendidikan pelbagai aliran di Sarawak.
“Selama ini, para pejuang pendidikan Cina, ahli lembaga pengurusan sekolah, guru besar, guru-guru serta masyarakat yang prihatin telah banyak menyumbang tenaga dan usaha demi memajukan pendidikan bahasa Cina sehingga memberi manfaat kepada ramai murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam alu-aluan pertandingan tersebut, bertempat di Dewan Christus Lumen Mundi, baru-baru ini.
Katanya, pertandingan akademik dan bakat bukan sekadar memberi ruang kepada murid mempamerkan kebolehan masing-masing, malah membentuk semangat untuk mengejar kecemerlangan, berani mencabar diri dan sentiasa meningkatkan prestasi.
“Dalam era perkembangan teknologi yang begitu pesat, kita bukan sahaja perlu memberi penekanan kepada pencapaian akademik, malah perlu membentuk murid yang mempunyai daya kreativiti, semangat kerja berpasukan serta sahsiah yang baik.
“Saya berasa gembira melihat sekolah-sekolah Cina bukan sahaja memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, malah turut mengembangkan pendidikan bakat dan pembangunan sahsiah secara menyeluruh demi melahirkan pelajar yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik, ahli lembaga pengurusan sekolah dan ibu bapa atas komitmen mereka dalam memajukan pendidikan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada anak-anak.
Koung Hiing berkata, kejayaan pendidikan memerlukan kerjasama erat antara sekolah, keluarga dan masyarakat bagi memastikan setiap murid memperoleh peluang yang sama untuk mengembangkan potensi diri.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua murid yang mewakili sekolah masing-masing dalam pertandingan tersebut dan berharap mereka memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk menimba pengalaman, mengasah bakat serta membina keyakinan diri.
Pada majlis sama, turut diadakan ialah mesyuarat agung tahunan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Aliran Bahasa Cina Sarawakdaj angkat sumpah jawatankuasa baharu Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Rendah Aliran Bahasa Cina Sarawak 2026-2027.
Turut hadir ialah Pengerusi Gabungan Persatuan Lembaga Bersatu Pengurusan Sekolah Rendah Cina Bantuan Sarawak, Dato’ Jonathan Chai Voon Tok; Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Aliran Bahasa Cina Sarawak, Ha Cheng Heng dan Penasihat Gabungan Persatuan Lembaga Bersatu Pengurusan Sekolah Rendah Cina Sarawak, Datuk Pau Chiong Ung.
Oleh Earl Anek