PASUKAN dari Sepanyol, Atletico Madrid semalam melaporkan dua ujian positif Covid-19, hanya empat hari sebelum mereka menghadapi Leipzig di Portugal untuk mencari tempat di separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA.
“Pada hari Sabtu, semua anggota pasukan pertama dan rombongan kelab ke Lisbon menjalani ujian seperti yang disyaratkan oleh protokol UEFA untuk perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara,” kata satu kenyataan kelab.
“Di antara keputusan yang diketahui hari ini, dua ujian positif muncul dan mereka mengasingkan diri di rumah masing-masing.”
Tidak dinyatakan sama ada kedua-dua kes positif itu melibatkan pemain atau kakitangan di sebalik tabir.
Atletico berkata bahawa UEFA serta pihak berkuasa bola sepak dan kesihatan Sepanyol dan Portugal telah dimaklumkan dan ujian baru akan dilakukan ke atas skuad dan pasukan sokongan.
Pengakuan mereka bererti perubahan ke atas jadual perjalanan terakhir serta rancangan penginapan di ibu negara Portugal.
“Kelab ini akan menyelaraskan jadual baru dengan UEFA dan sebaik sahaja ada rancangan baru, ia akan diumumkan kepada umum,” tambah kenyataan itu.
“Kami juga meminta penghormatan yang tinggi atas identiti dua kes positif tersebut.”
Pasukan itu akan melakukan perjalanan ke Portugal pada hari Selasa untuk peringkat akhir Liga Juara-Juara yang diadakan di Lisbon sebagai langkah berjaga-jaga terhadap Covid-19 berbanding mengambil risiko mempunyai pasukan yang pergi ke seluruh Eropah untuk pertemuan di tempat sendiri dan lawan.
Kejohanan lapan pasukan terakhir akan diadakan dalam stadium kosong, bermula pada hari Khamis dengan final diadakan di Lisbon pada 24 Ogos.
Liga Juara-Juara ditangguhkan sejak Mac kerana virus dengan peringkat pusingan kedua hanya tamat pada hari Sabtu dan Ahad.
Dalam kenyataan mereka pada hari Ahad, Atletico ingin meyakinkan pihak berkuasa bola sepak, bahawa mereka telah mengikuti protokol yang sangat ketat walaupun setelah berakhirnya musim La Liga Sepanyol pada 20 Julai. – AFP