BINTANGOR: Sarawak adalah sebuah negeri yang paling majmuk di Malaysia dan sejak sekian lama, masyarakat negeri ini terkenal dengan sikap toleransi dan muhibah yang unik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol berkata, walaupun perayaan Krismas diraikan oleh penganut agama Kristian tetapi dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama seperti Sarawak, kemeriahan setiap perayaan akan dinikmati bersama.
“Tetapi, perpaduan kaum di negeri kita sedang menghadapi cabaran disebabkan kerakusan pihak tertentu yang gemar mengunakan sentimen perkauman untuk mendapat perhatian dan meraih populariti.
“Terdapat segelintir orang tertentu yang begitu terdesak untuk menonjol diri sebagai juara rakyat sehingga sanggup bermain dengan isu perkauman yang menimbulkan sentimen kebencian.
“Sikap yang tidak bertanggungjawab seperti ini akan mengugat perpaduan kaum dan kesejahteraan masyarakat,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pra-Krismas dan Penyampaian Sumbangan Sempena Hari Krismas Tahun 2020 di Dewan Masyarakat Sungai Sian, semalam.
Katanya, pihak, yang sering menabur fitnah dan berburuk-sangka mesti ditolak dan diabaikan.
“Negeri kita dalam proses pembangunan yang rancak dan ini hanya dapat dilaksanakan jika suasana negeri berada dalam keadaan aman dan masyarakat bersatu-padu.
“Apakah kita tidak belajar dan mengambil iktibar dengan suasana yang berserabut ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selama 22 bulan?
“Apakah kita mahu suasana tidak menentu seperti sebuah negeri di Semenanjung Malaysia yang bertukar Menteri Besar dan jemaah kabinet sehingga tiga kali dalam tempoh dua tahun?,” ujarnya.
Tegasnya, apabila kepimpinan sebuah negara atau negeri tidak kuat atau stabil, ini akan menjejas sistem pentadbiran negara atau negeri.
“Apabila sistem atau polisi pentadbiran tidak dipimpin dengan baik, yang menjadi mangsa ialah kebajikan rakyat dan perlaksanaan pembangunan akan terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan sumbangan peruntukan kewangan RM26,000 kepada enam pertubuhan di Bintangor untuk tujuan aktiviti mereka.
Penerima sumbangan tersebut ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Sian, Kelab Kebajikan PPD Meradong, JKKK Rumah Mudai, Kelab Perubatan-Jururawat, Kelab Perubatan-Pembantu Pegawai Perubatan dan Kelab RANDO Meradong.
Selain itu, Abdullah turut mengumumkan sumbangan berbentuk 50 kerusi dan 10 meja untuk semua 14 rumah panjang di kawasan tersebut.
Majlis Pra-Krismas itu adalah anjuran bersama JKKK rumah panjang, Pusat Khidmat Semop dan SABERKAS Cawangan Meradong.
Pada tahun ini, ia tidak dapat dilakukan secara terbuka seperti tahun lepas untuk mematuhi langkah penjagaan kesihatan semasa pandemik Covid-19.
Majlis tersebut hanya dihadiri semua tuai rumah yang mewakili 14 rumah panjang di kawasan Nanga Bangkit, Selidap, Sungai Sian dan Muara Bunut.
Ia juga adalah simbolik pelancaran program susulan iaitu ‘Ngabang Krismas’ yang akan diadakan pada 22 Disember (hari ini), yang mana kumpulan Belia SABERKAS seramai 20 orang akan melawat setiap rumah panjang untuk menyerahkan cenderamata berbentuk pokok Krismas dan buah tangan untuk setiap pintu di rumah panjang.
Oleh EARL ANEK