
KUCHING: Semangat perpaduan dan kebersamaan menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata Hari Raya bukan sekadar perayaan bagi umat Islam, tetapi turut diraikan oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini melalui amalan kunjung-mengunjung serta majlis rumah terbuka.
Dalam perutusan Aidilfitri 2025, beliau memberitahu tradisi ini bukan hanya sekadar menikmati juadah, tetapi juga menjadi medan untuk mengeratkan hubungan persahabatan dan kekeluargaan dalam kalangan rakyat Sarawak.
Di samping itu, beliau turut mengaitkan sambutan ini dengan usaha pembangunan negeri menjelang Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang kini berada di pertengahan pelaksanaannya.
Beliau menegaskan bahawa Sarawak semakin hampir mencapai kemakmuran yang diidamkan, dengan prinsip utama pembangunan yang berteraskan kemakmuran ekonomi, nilai inklusiviti serta kelestarian alam sekitar.
Dalam konteks ini, beliau menyentuh peranan Sarawak sebagai peneraju tenaga hijau di rantau ini, termasuk melalui inisiatif tenaga hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui yang sedang giat dibangunkan di negeri ini. – UKAS