
KUALA LUMPUR: Sebelum namanya dikenali, Datuk Elaine Kang yang cukup sinonim dengan lagu patriotik “Sejahtera Malaysia”, pernah membuat persembahan di majlis perkahwinan dengan bayaran RM8 yang kemudian dikumpulkan di dalam tabung.
Kenangan ketika beliau berusia 10 tahun itu masih segar dalam ingatan penyanyi veteran kelahiran Pulau Pinang ini, semasa mengimbau perjalanannya dalam dunia seni selama lebih 40 tahun.
Elaine, 61, berkata beliau membesar dalam keluarga yang serba kekurangan sehingga terpaksa berhenti sekolah sebelum tamat tingkatan dua.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang sememangnya miskin. Tak habis sekolah, Form 2 dah tak sekolah lagi. Uniform tu pun jahit sendiri kerana ibu bapa tak cukup duit nak beli. Tapi life must go on,” katanya ketika menjadi tetamu program ShowBuzz di Bernama Radio baru-baru ini.
Minat Elaine terhadap nyanyian bermula sejak kecil dan aktif menyertai pelbagai pertandingan di Pulau Pinang.
Walaupun tidak pernah memenangi tempat pertama, Elaine tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk berhenti, sebaliknya beliau terus menyanyi apabila menerima undangan membuat persembahan di majlis perkahwinan.
“Umur 10, 11 tahun dah join competition. Tapi tak pernah dapat first prize. Selalu consolation sahaja. Kalau ada orang kahwin, dia panggil kita buat persembahan. Kita nyanyi dua lagu, saya dapat RM8. Saya kutip, kutip, kutip duit itu, simpan dalam piggy bank,” katanya.
Nasib selebriti ini berubah selepas berpindah ke Kuala Lumpur bersama-sama dengan ibunya apabila beliau menghadiri uji bakat untuk menjadi penyanyi tetap di Federal Hotel.
“Masa audition saya tak ada pakaian yang cantik, jadi saya pinjam baju kakak. Lepas audition, mereka terus bagi saya kontrak. Gaji waktu itu RM800, semua saya bagi mak. Saya cuma ambil RM250 dan simpan di bank,” katanya.
Bakatnya kemudian mendapat perhatian sebuah syarikat rakaman sebelum menghasilkan album dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris, sekali gus menempatkan namanya dalam industri seni tempatan.
Berkongsi rahsia kekal bertahan lebih empat dekad, Elaine berkata beliau tidak pernah memilih kerja dan sentiasa cuba merebut setiap peluang yang datang.
“Pukul 8.45 malam satu show, lepas itu 10.30 malam satu lagi dan 12.30 tengah malam satu lagi. Balik rumah memang penat, tetapi peluang tak selalu datang. Jadi kita perlu rajin,” katanya.
Prinsip itu juga mendorong Elaine menubuhkan syarikat produksi sendiri dan menceburi bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan tambahan.
Beliau turut mengingatkan penyanyi muda supaya tidak terlalu bergantung pada populariti semata-mata, sebaliknya sentiasa membuat persediaan untuk menghadapi masa depan.
“Kita tak tahu bila populariti boleh stop. Jadi tolonglah rajin sikit. Kita perlu tahu what is happening in the world, kita perlu read news. Bukan menyanyi saja. You perlu ada plan, buat preparation dulu.
“Bila ada peluang datang, you tahu macam mana nak buat. Saya seorang penyanyi, tapi saya pun ada buat business lain. Yang penting sekali ialah kita ada back up. Jadi apa-apa pun kita tak ada risau,” katanya.- Bernama