KUCHING: Permohonan untuk skim pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional Mobilepreneur 2.0 telah dibuka untuk permohonan sejak awal bulan Jun dengan perasmian pelancaran pada 7 Julai nanti.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam menjawap kenyataan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How yang menyatakan bahawa TEKUN Nasional tiada menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah dengan nilai sehingga RM10,000 berdasarkan hasil lawatan beliau ke pejabat TEKUN Nasional Sarawak pada 23 Jun lalu.
“Saya menafikan kenyataan tersebut, kerana memang program ini telah dibuka untuk permohonan sejak awal Jun ini dan setakat ini ia dibuka untuk 100 pemohon awal (yang layak dan melepasi syarat-syarat yang ditetapkan).
“Perasmian pelancaran pada 7 Julai nanti dan kepada semua rider e-hailing yang menepati syarat boleh mula memohon skim ini dengan had kelulusan permohonan kepada 500 ‘rider’ sahaja,” katanya pada sidang media ketika taklimat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching berkenaan projek di Parlimen Santubong bertempat di JKR Kuching, semalam.
“Beliau (See Chee How) berkata, beliau telah pergi ke TEKUN dan pegawai di sana menyatakan tiada program sedemikian, itu bukan masalah tiada program tetapi mungkin pegawai yang ditanya tersebut tidak atau belum mengetahui mengenai program ini.
“See sepatutnya bertanya kepada pihak kementerian, jangan terus membuat kenyataan di akhbar ‘syok sendiri’, ini bukan sifat seorang wakil rakyat yang membawa perkhidmatan kepada rakyat, tetapi hanya mencari kesalahan orang lain,” tegasnya.
Untuk rekod, TEKUN Mobilepreneur 2.0 ialah skim dengan nilai maksimum pembiayaan sehingga RM10,000 bertujuan untuk membantu pembelian motosikal baru dan modal pusingan bagi ‘rider e-hailing’ yang telah berdaftar dengan syarikat ‘e-hailing’ bagi perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan.
TEKUN mempunyai satu lagi program iaitu skim pembiayaan tanpa faedah kepada ‘rider penghantar’ (iaitu TEKUN Mobilepreneur 1.0) dengan nilai pembiayaan maksimum sehingga RM2,000 diwujudkan sejak April lalu bertujuan untuk membaiki dan memasang tambahan aksesori pada motosikal.
Sehingga kini, seramai 211 pemohon (rider) diluluskan permohonan dan menerima pembiayaan dengan nilai RM394,000, ia terbuka kepada 500 pemohon terawal dan pemohon perlu mendaftar sebagai ahli e-hailing terlebih dahulu.
Kedua-dua skim yg ditawarkan oleh TEKUN Nasional ini adalah terbuka khusus untuk kaum Bumiputera dan India sahaja.
Manakala skim pembiayaan mikro untuk kaum-kaum lain boleh dipohon melalui Bank Simpanan Nasional ( BSN).
Oleh Zarina Abdullah