LIMBANG: Kawasan Bandar Baharu Limbang dikenal pasti sebagai tapak pelaksanaan bagi projek pembinaan Kompleks Kesihatan Bersepadu (KKB) Hospital Limbang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata projek itu antara yang diberi keutamaan dan amat dinanti-nantikan penduduk di utara negeri ini.
“Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib, turut melawat tapak projek pembinaan hospital di Limbang, KKB. Ada dua pilihan tapak di kawasan Bandar Baharu Limbang.
“Selain itu, kita juga ke Medamit untuk melihat tapak klinik yang telah diluluskan semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Limbang ketika peluncuran SSLR2 sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib, dalam lawatan ke Klinik Kesihatan Nanga Medamit, Limbang, sempena Program Jelajah Kesihatan Borneo hari ini.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang menjelaskan pelan pembangunan bagi pembinaan Klinik Kesihatan Nanga Medamit yang baharu sudah dirangka, termasuk kerja awalan, tinjauan, reka bentuk, pampasan dan sebagainya.
Katanya, kerajaan sedang menangani masalah dan cabaran yang dihadapi warga klinik di luar bandar itu ketika ini, termasuk kekurangan fasiliti, bekalan air yang tidak stabil, kekangan peralatan dan perkakas perubatan yang terhad serta isu lain.
Jelasnya, laluan masuk yang agak sempit ke klinik berkenaan akan dilebarkan, manakala usaha membawa tangki air ke kawasan itu sedang diusahakan.
Menurutnya, selain klinik berkenaan, pembinaan Klinik Kesihatan Long Napir juga amat diperlukan oleh penduduk di pedalaman yang kini boleh diakses melalui jalan raya seiring dengan pembinaan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).
Oleh Adeng Edrus




