
BINTULU: Tiga syarikat korporat menghulurkan RM50,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu bagi memperkukuh kesiapsiagaan, sekali gus meningkatkan kecekapan respons kecemasan di daerah ini.
Sumbangan terbesar berjumlah RM30,000 disampaikan oleh Presiden Nissin Shioji, Hiroaki Tsutsui, manakala BBC Plantation Sdn. Bhd. dan TSCH International Trading Berhad masing-masing menyumbang RM10,000, diwakili Leonard Yek dan Alan Yek.
Tsutsui berharap sumbangan itu dapat meningkatkan kesiapsiagaan Bintulu dalam menghadapi sebarang kemungkinan, sekali gus memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Bintulu Catherine Sayu Hendry Kasi yang menerima sumbangan tersebut bagi pihak JPBB Bintulu menzahirkan penghargaan atas sokongan sektor swasta dalam memperkukuh sistem respons kecemasan daerah ini.
Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen sektor swasta dalam memperkukuh pengurusan bencana serta menyokong kecekapan respons kecemasan demi kesejahteraan penduduk.
“Kami menghargai sokongan pihak swasta dalam memastikan kelancaran pengurusan bencana.
“Sumbangan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan tindakan pantas,” katanya.
Oleh Carolyne Utih