LIMBANG: Seorang remaja ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam kes khianat dengan mencabut dinding rumah kebun di Kampung Batu 8, Jalan Kubong, di sini.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, suspek berusia 17 tahun dicekup susulan laporan polis yang dibuat pemilik kebun berkenaan pada 5.25 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan pengadu mendapati sebanyak lebih kurang 23 keping papan dinding hadapan rumah kebun telah dicabut oleh suspek.
“Sebahagian papan yang dicabut diletakkan di hadapan rumah dan sebahagian lagi diletakkan di dalam semak berhampiran rumah kebun berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengadu memaklumkan sebatang besi yang merupakan peralatan untuk mencabut papan masih berada di dalam rumah kebun berkenaan.
Katanya, terdapat sebatang tukul besi dijumpai di dalam bakul motosikal yang diletakkan di hadapan rumah kebun tersebut dipercayai milik suspek.
“Difahamkan, jelasnya kejadian kecurian papan rumah kebun tersebut telah berlaku beberapa kali sebelum ini, namun pengadu tidak membuat laporan polis.
“Polis turut merampas sebuah motosikal, sebatang besi kuku kambing dan sebatang tukul besi,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.




