KAPIT: Lebih 150 murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bawai menyertai Program 1,000 Lawatan untuk Selamatkan Hidupan Liar – Komponen 3M Buaya: Mengenali, Memahami, Memulihara yang dianjurkan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Sibu bersama Ranger Post Kapit.
Menurut kenyataan SFC, program berkenaan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, kesedaran dan langkah berjaga-jaga ketika berada di kawasan sungai yang berpotensi menjadi habitat buaya.
Pemilihan SK Nanga Bawai dilihat amat bersesuaian berikutan kedudukan sekolah yang berhampiran dengan sungai, selain sebahagian murid masih menggunakan pengangkutan air sebagai laluan utama untuk pergi dan pulang dari sekolah.
Menerusi program tersebut, murid Tahap 1 dan Tahap 2 didedahkan kepada pengetahuan berkaitan buaya di Sarawak serta pengurusan konflik manusia-buaya bagi membantu mereka mengenal pasti risiko dan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya.

Pelbagai aktiviti pendidikan dan kesedaran hidupan liar turut diadakan, termasuk ceramah Buaya di Sarawak dan Pengurusan Konflik Manusia-Buaya di Sarawak, pertandingan mewarna serta kuiz hidupan liar.
SFC berkata, program berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengetahuan murid mengenai keselamatan diri, malah memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan hidupan liar, khususnya dalam komuniti yang kehidupan seharian mereka begitu dekat dengan sungai dan alam semula jadi.
Penyampaian hadiah kepada para peserta disempurnakan Penolong Kanan Pentadbiran, Jemat, bersama PIC Community Liaison & Education (CLE) Wilayah Sibu, Dinnis Umpol.
SFC turut merakamkan penghargaan kepada pihak SK Nanga Bawai atas kerjasama dan sambutan yang diberikan, selain berharap program seumpama itu dapat terus menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk menghargai, melindungi dan hidup secara harmoni bersama hidupan liar Sarawak.
Oleh Adi Safarman



