
BARCELONA: Penglibatan berterusan menunjukkan Sarawak komited untuk membina hubungan antarabangsa bagi memperkukuh serta merealisasikan visi dalam memajukan ekonomi berasaskan pengetahuan mampan menerusi pembangunan Sarawak Tech City.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), berkata dengan ekosistem teknologi yang berkembang pesat di Barcelona, lawatan bertujuan memanfaatkan kepakaran bandar berkenaan.
Menerusi kenyataan UKAS, Uggah, berkata perbincangan utama kerjasama ini tertumpu kepada pembangunan infrastruktur digital, pembinaan bakat, inkubasi syarikat permulaan serta kerjasama antara industri, dan akademia yang diilhamkan oleh kejayaan Barcelona sebagai pusat inovasi global.
“Dalam inovasi, penyelesaian bandar pintar, dan transformasi digital sekali gus meletakkan Sarawak sebagai hab utama teknologi, dan keusahawanan di rantau ini,” kata Uggah dalam mengetuai lawatan delegasi Sarawak ke Tech Barcelona, semalam.
Lawatan ini, katanya lagi, juga menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama antara kedua-dua pihak.
“Ini mengukuhkan lagi impian Sarawak untuk membangunkan ekosistem teknologi bertaraf dunia sekali gus memperkukuh kedudukan wilayah ini sebagai peneraju dalam ekonomi digital Asia Tenggara,” jelasnya.
Uggah diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datuk Abdullah Saidol, turut memaklumkan bahawa kerjasama antara Sarawak dan Barcelona bermula semasa Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2023.
Kerjasama ini, ujarnya, telah diteruskan dengan komitmen tinggi melalui kerjasama yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
Turut serta dalam lawatan, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Sarawak.
Ketibaan delegasi Sarawak pada lawatan itu semalam telah disambut mesra oleh Pengerusi Malaysian Spanish Chamber of Commerce and Industry (La Cámara), Jordi Pol.