
PETRA JAYA: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menggesa agar hubungan strategik antara agensi kerajaan, media, pegawai perhubungan awam dan pengamal media sosial terus diperkukuhkan demi memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dapat disampaikan secara tepat, menyeluruh dan mudah difahami oleh rakyat.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, majlis seperti UKAS Berambeh Raya bukan sekadar perayaan Aidilfitri, malah menjadi ruang komunikasi dua hala yang penting dalam merapatkan kerjasama antara semua pihak yang terlibat dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat.
“Komunikasi yang berkesan bukan sahaja menuntut ketepatan dan kepantasan, tetapi juga memerlukan keupayaan untuk menyampaikan mesej dalam bentuk yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam ucapan sempena majlis UKAS Berambeh Raya 2025 hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol.
Awang turut menekankan bahawa dunia digital masa kini memberikan peluang besar kepada pengamal media untuk memperluaskan capaian maklumat, termasuk melalui media sosial yang bukan sahaja berfungsi sebagai saluran maklumat, malah mencipta ruang perbincangan interaktif antara kerajaan dan rakyat.
“Kerjasama strategik sebegini memberi ruang untuk kita bertukar-tukar pendapat, khususnya dalam usaha memperkenalkan inisiatif dan dasar kerajaan kepada masyarakat umum,” tambahnya.
Menurut beliau, UKAS amat menghargai peranan aktif semua pihak termasuk pengamal media sosial yang telah menyumbang kepada penyaluran maklumat yang tepat, sekali gus membantu meningkatkan pemahaman dan penyertaan rakyat dalam pembangunan negeri.
Sementara itu, majlis santai tersebut disifatkan sebagai platform memperkukuhkan silaturahim antara UKAS, warga media dan rakan strategik, sejajar dengan pendekatan mesra kerajaan Sarawak terhadap para pengamal media.
“Saya percaya suasana mesra seperti ini mampu mencipta kefahaman bersama tentang tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat,” ujar beliau.
Majlis UKAS Berambeh Raya 2025 diadakan di English Tea House sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan usaha komunikasi dan penyebaran dasar kerajaan Sarawak, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi.
Oleh Amanda L.