
BINTANGOR: Hubungan erat antara kerajaan Sarawak dan rakyat luar bandar diperkukuh menerusi lawatan pra Gawai hari kelapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing di kawasan Sungai Meradong dan Skim B pada petang semalam.
Menerusi lawatan ini, Koung Hiing yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor meluangkan masa untuk mendengar secara langsung masalah dan keperluan yang dibangkitkan oleh penduduk rumah panjang serta tuai rumah di kawasan tersebut.
“Setiap tahun saya akan melawat semua rumah panjang di kawasan DUN Meradong setiap kali tibanya musim perayaan Hari Gawai.
“Ini adalah peluang terbaik untuk saya mengetahui dan melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk di rumah panjang,” katanya ketika berucap semasa lawatan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan Sarawak di bawah pucuk pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa mengutamakan pembangunan asas dan kebajikan semua lapisan masyarakat di negeri ini.
“Antara pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan untuk rakyat Sarawak termasuklah Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dan Kumpulan Wang Wakaf Sarawak (EFS) untuk bayi.
“Selain itu, kerajaan Sarawak turut menyediakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) untuk meringankan beban pelajar di institusi pengajian tinggi milik Sarawak seperti Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Universiti i-CATS,” katanya.
Beliau turut menyeru agar penduduk rumah panjang terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan Sarawak yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Lawatan tersebut turut disertai Setiausaha Parti SUPP Cawangan Bintangor, Lau Sie Hing; Bendahari SUPP Cawangan Bintangor, Lee Ngin Soon dan Kapitan Wong Leh Hee.
Oleh Earl Anek