
DATO Wee Hong Seng (tengah) bersama wakil Pepsi Malaysia melancarkan tin edisi terhad Pepsi x Pesta Ria Kuching 2026 pada sidang media di Kuching.
KUCHING: Pepsi Malaysia kembali sebagai penaja utama rasmi Pesta Ria Kuching 2026 dengan memperkenalkan tin edisi terhad Pepsi x Pesta Ria Kuching buat julung kalinya, sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat itu dalam menyokong festival makanan terbesar di bandar raya ini.
Pelancaran kempen berkenaan disempurnakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng pada sidang media di sini, hari ini.
Tin edisi terhad yang direka khas sempena Pesta Ria Kuching 2026 itu mengetengahkan kemeriahan budaya makanan Kuching dan dijangka menjadi koleksi eksklusif sepanjang festival berlangsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Etika dan Eksport Antarabangsa, Hemalatha Ragavan berkata, Pesta Ria Kuching merupakan antara sambutan komuniti paling ikonik di Sarawak dan Pepsi berbangga dapat kembali sebagai penaja utama buat kali kedua.
Menurut beliau, sebagai penghargaan kepada sokongan masyarakat Sarawak, Pepsi Malaysia memperkenalkan tin edisi terhad pertama yang direka khusus untuk festival tersebut.

Katanya, pengunjung turut berpeluang menikmati promosi istimewa termasuk minuman Pepsi pada harga bermula RM2 sepanjang festival.
“Di Etika, kami percaya pengalaman jenama yang kukuh dibina melalui penciptaan nilai kepada pengguna dalam detik-detik bermakna. Melalui gabungan makanan, budaya tempatan dan pengalaman yang unik, kami mahu terus menjadikan setiap hidangan lebih istimewa bersama Pepsi,” katanya.
Selain pelancaran tin edisi terhad, Pepsi Malaysia turut mengumumkan kembalinya promosi Pepsi Hour yang menawarkan minuman Pepsi pada harga RM1 setin kepada pengunjung festival setiap Isnin, iaitu pada 27 Julai, 3 Ogos dan 10 Ogos, dari pukul 5.00 petang hingga 6.00 petang.
Syarikat itu turut meneruskan Pertandingan Padanan Makanan #YourKFFBetterWithPepsi dengan hadiah wang tunai keseluruhan RM15,000.
Peserta hanya perlu membeli makanan bersama minuman Pepsi di festival, merakam gambar kreatif, memuat naik ke Facebook atau Instagram menggunakan tanda pagar #YourKFFBetterWithPepsi serta menandakan akaun rasmi Pepsi Malaysia.
Pemenang mingguan akan diumumkan menerusi sesi siaran langsung Facebook Dato Wee Hong Seng pada setiap Sabtu sepanjang festival.
Dalam pada itu, Pepsi Malaysia turut bekerjasama dengan Dato Wee Hong Seng menerusi penerbitan Siri Video Penjelajahan Makanan bagi memperkenalkan vendor serta hidangan yang bakal ditawarkan di Pesta Ria Kuching 2026.
Video tersebut akan disiarkan di laman Facebook rasmi beliau sebelum dan sepanjang festival berlangsung bagi membantu pengunjung merancang pengalaman kulinari mereka.
Pepsi Malaysia berharap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan itu bukan sahaja memeriahkan Pesta Ria Kuching 2026, malah terus memperkukuh hubungan syarikat dengan komuniti serta budaya makanan di Sarawak.




