
HARMONI DAN MERIAH…Henry Sum Agong pada Program Semarak Kemerdekaan Hari Sarawak 2026 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Limbang di Kampung Meriting.
LAWAS: Kesejahteraan rakyat dan usaha membangunkan Sarawak hanya dapat dilaksanakan dengan sempurna jika rakyat terus hidup bersatu padu dan harmoni.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, berkata sokongan dan kerjasama masyarakat menjadi faktor penting dalam memastikan pelbagai projek pembangunan yang dirancang kerajaan Sarawak dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat kepada penduduk.
“Walaupun kita telah menikmati pelbagai kemajuan, usaha membangunkan kawasan luar bandar perlu diteruskan agar rakyat dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik pada masa hadapan.
“Hubungan yang erat, sikap saling menghormati dan kerjasama dalam kalangan masyarakat merupakan asas penting bagi memastikan pembangunan dapat diteruskan demi generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Program Semarak Kemerdekaan Hari Sarawak 2026 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Limbang di Kampung Meriting, Sundar, pada Sabtu.
Menurutnya, kerajaan Sarawak terus komited melaksanakan pelbagai projek strategik di Lawas, termasuk pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Kuala Lawas, Lapangan Terbang Baharu Lawas serta pembinaan jaringan jalan raya dan jambatan yang dijangka meningkatkan kesalinghubungan, merancakkan aktiviti ekonomi serta mempercepat pembangunan wilayah utara Sarawak.
Beliau berkata, manfaat daripada pelaksanaan projek-projek tersebut hanya dapat direalisasikan sepenuhnya sekiranya masyarakat terus mengekalkan semangat perpaduan, saling menghormati dan bekerjasama dalam menyokong agenda pembangunan negeri.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program, antaranya pertandingan mewarna, pertandingan menyumpit, tarik tali, sepakan penalti dan Kuiz Kemerdekaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Kampung Meriting serta kawasan sekitarnya.
Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas Aminul Fadzrin Abdul Rahim, Pegawai UKAS Bahagian Limbang Rosmaini Mail serta ketua-ketua kampung kawasan Sundar.
Oleh Adeng Edrus





