BIKF 2026 buka ruang ekonomi kepada peniaga kecil

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ABDUL Rahim bersama wakil penganjur ketika sidang media BIKF 2026 di Wisma Bintulu hari ini.

BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 bukan sahaja menjadi platform memperkenal acara bertaraf antarabangsa, malah membuka ruang ekonomi kepada peniaga kecil menerusi penglibatan 105 gerai perusahaan mikro dan kecil sepanjang festival berlangsung.

Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA), Abdul Rahim Abdullah berkata, Trade Expo yang diadakan sempena BIKF 2026 akan menghimpunkan peniaga kecil tempatan sekali gus memberi peluang kepada mereka mempromosikan produk serta menjana pendapatan.

Menurutnya, festival edisi ke-19 itu yang berlangsung dari 22 hingga 26 Julai di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu turut menampilkan pelbagai aktiviti yang melibatkan penyertaan komuniti.

“Sepanjang lima hari, acara menarik yang telah kita susun ialah persembahan layang-layang gergasi, persembahan layang-layang menggunakan diod pemancar cahaya (LED) pada waktu malam yang merupakan tahun kedua penganjurannya.

“Kita ada layang-layang sukan, Rokkaku dan layang-layang mini. Kita ada bengkel layang-layang, taman layang-layang gergasi, pameran taman angin, aktiviti melukis muka dan kraf serta mencanting batik,” katanya pada sidang media BIKF 2026 di Wisma Bintulu di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk pertandingan nyanyian 60-an, pertandingan nyanyian duet, Bintang Kecil, Battle of The Band dan pertandingan Ratu Kebaya.

Selain itu, BIKF 2026 turut menyediakan aktiviti keluarga seperti pertandingan mewarna kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun, Family Face Painting Challenge, pertandingan Recycled Runway serta pertandingan masakan tradisi.

Abdul Rahim berkata, festival itu dijangka menarik ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa, sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan serta ekonomi Bintulu.

Katanya, penganjuran BIKF 2026 membuktikan festival berkenaan bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan, malah berperanan menghubungkan komuniti, budaya dan peluang ekonomi tempatan.