KABONG: Peranan institusi kesihatan seperti di Klinik Kesihatan Kabong amat penting dalam meningkatkan mutu kesihatan dan keceriaan hidup di kalangan masyarakat.
Ini kerana institusi itu berperanan menambah paradigma, dan amalan hidup masyarakat terutama mereka yang tinggal di luar, dan pinggir bandar serta mempunyai latar belakang sosioekonomi rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, institusi kesihatan itu merupakan kemudahan paling asas dalam struktur pembangunan kesihatan di negara ini.
“Kemudahan ini menyediakan perkhidmatan penting dalam aspek pencegahan penyakit dan rawatan ringan khususnya kepada ibu dan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Randau bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong di sini, hari ini.
Chee Kadir berkata, usaha memastikan keselesaan masyarakat ketika mendapatkan perkhidmatan di Klinik Kesihatan Kabong di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong ini akan menjadi keutamaan.
Katanya, sebagai pusat rawatan kesihatan utama bagi masyarakat di sini, institusi kesihatan itu memerlukan perkhidmatan berterusan yang lebih berkualiti dan terbaik.
“Pihak kita akan sentiasa memantau keperluan di klinik kesihatan itu dari semasa ke semasa dalam usaha kita membantu pihak mereka memberikan perkhidmatan terbaik untuk penduduk di DUN Kabong,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir telah menyampaikan sumbangan kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong dan Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan Kabong.
Turut hadir ialah Pegawai Perubatan Daerah Saratok Dr Mualim Shah Abd Rani, Kaunselor Ulin Tabur, Penghulu Sani Mohamad, dan Penghulu Rahman @ Dom Kapok, dan isteri Chee Kadir, Datin Meryani Yasin.
Oleh Adi Safarman