KUCHING: Perkhidmatan bas hidrogen akan merangkumi perhentian di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Stadium Perpaduan di Petra Jaya dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Dalam satu kenyataan, Sarawak Metro Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menjelaskan bahawa perkhidmatan bas percuma ke dua PPV itu akan bermula pada 21 Jun ini.
Katanya, Sarawak Metro berharap perkhidmatan itu akan memudahkan penduduk di kawasan bandar untuk ke PPV.
“Empat perjalanan setiap hari, bas hidrogen ini mula berlepas dari perhentian bas di hadapan Riverside Majestic Hotel pada 7.30 pagi, 9.50 pagi, 1.00 petang dan 3.20 petang.
“Bagi mereka yang menuju ke pusat vaksinasi di Stadium Perpaduan, laluan yang diliputi oleh perkhidmatan bas hidrogen ini merangkumi Jalan Tunku Abdul Rahman, Bazaar Utama, kawasan parkir bertingkat Saujana, Jalan Haji Taha, Jalan Satok, Jalan Matang, Jalan Semarak, Jalan Astana dan Jalan Stadium.
“Sementara itu, Dari Stadium Perpaduan, bas terus menuju ke Jalan Bako dan Jalan Keruing dan berhenti di pusat vaksinasi di BCCK, sebelum membuat jalan pulang ke stadium menuju ke Riverside Majestic Hotel,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut Sarawak Metro berkata, bagi penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan bas percuma ini juga boleh menunggu di mana-mana perhentian bas di sepanjang laluan.
“Selain perkhidmatan bas khusus untuk dua pusat vaksinasi ini, Sarawak Metro juga kini mengendalikan Downtown Heritage Loop, yang juga bermula dari perhentian bas di hadapan Riverside Majestic Hotel.
“Laluan ini akan tertumpu pada mereka yang bercadang untuk pergi ke pusat vaksinasi di Kozi Square, berhampiran Hospital Umum Sarawak. Downtown Heritage Loop ini juga akan mengendalikan lapan perjalanan setiap hari, bermula dari pukul 7.30 pagi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, seperti Downtown Heritage Loop, laluan ke pusat vaksinasi di Stadium Perpaduan dan BCCK dianggap sebagai sebahagian daripada perkhidmatan operasi percubaan Metro Sarawak.
“Ia adalah untuk mengumpulkan data sebagai persiapan untuk rancangan masa depan negeri untuk mengadaptasi bas feeder berkuasa hidrogen untuk Transit Pantas Automatik (ART) di bawah projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
“Sepanjang operasi percubaan ini, Sarawak Metro juga akan sentiasa mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS), sebagai sebahagian daripada langkah-langkah untuk membendung penyebaran Covid-19.
“SOP ini termasuk mewajibkan penumpang mengimbas suhu badan mereka ketika memasuki bas dan memakai topeng muka setiap masa,” katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO