
KUCHING: Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff, telah mengadakan sesi perjumpaan bersama pihak pengurusan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) pada Khamis di hotel terkemuka di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SFC, perjumpaan tersebut merupakan langkah proaktif dalam memperkenalkan dan menyebarluaskan peranan serta fungsi Ombudsman Sarawak kepada agensi perkhidmatan awam negeri.

“Dalam sesi tersebut, satu taklimat mengenai Sarawak Ombudsman Ordinance, 2023 telah disampaikan kepada pihak SFC.
“Timbalan Pengurus Besar SFC, Japanie Bujang, turut mengambil peluang untuk membentangkan taklimat korporat SFC dan menerangkan pelan tindakan mereka dalam pelaksanaan ordinan yang berada di bawah bidang kuasa syarikat itu,” katanya.
Selain itu, kenyataan tersebut menyatakan bahawa sesi perjumpaan itu juga memberi tumpuan kepada penerangan terkini mengenai pengurusan industri sarang burung walit di Sarawak.
“Taklimat berkaitan perkara itu telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Perlindungan SFC, Madhan Kiflie.
“Dalam perbincangan tersebut, pihak SFC menyatakan kesediaan mereka untuk memberikan kerjasama penuh kepada Ketua Ombudsman Sarawak jika diperlukan pada masa akan datang,” tambhanya.
Turut hadir, pengurusan tertinggi SFC serta pegawai Pengurusan Ombudsman.