LIMBANG: Daerah Limbang perlu bersedia memperkasakan program pelancongan bagi menarik kemasukan pengunjung ke daerah ini sejajar Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan kini sedang melakukan persiapan rapi bagi menjayakan kempen tersebut.
Antaranya, menurut Hasbi ialah memberikan visa percuma selama satu bulan kepada pelancong dari China dan India yang kini giat dipromosikan di luar negara oleh Kementerian Pelancongan.
“Jawatankuasa Bertindak Pelancongan di bawah Pejabat Residen Limbang bersama agensi berkaitan boleh mengatur kalendar pelancongan untuk Limbang daripada pelbagai komuniti selain tarikan-tarikan lain produk pelancongan yang ada di Limbang.
“Saya memang sangat-sangat berharap program sebegini (program pelancongan dari segi kebudayaan) diadakan,”katanya ketika berucap pada Perasmian Malam Budaya 2024 anjuran Gabungan Persatuan- Persatuan Cina Bahagian Limbang, semalam.
Turut sama ialah Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang Dato’ Wong King Hoong, Pengerusi Jawatankuasa pengelola Kapitan Kong Foh Liem dan tetamu lain.
Hasbi juga berharap agar Pejabat Residen, agensi-agensi kerajaan dapat memperhebat usaha mengumpul dan menyusun atur produk-produk yang ada di Limbang termasuk program malam kebudayaan Cina agar menjadi salah satu tarikan pelancong untuk Limbang.
Jelas Ahli Parlimen Limbang itu lagi, pihaknya ingin melihat kedatangan pelancong ke Semenanjung memasuki Sarawak dan Limbang.
“Saya sebagai wakil rakyat ingin melihat bagaimana untuk menarik mereka ke Limbang dan mempromosikan Limbang.
“Apabila kita mempromosi pelbagai budaya program dan produk lain kita boleh menarik pelancong yang dijangka ramai masuk ke Malaysia ini sekali gus memastikan Limbang juga menerima limpahan daripada kedatangan pelancong-pelancong dari luar negara ini,” katanya lagi.
Menurut beliau, langkah itu adalah satu cara untuk menjana ekonomi penduduk-penduduk di bandar, luar bandar dan pinggir bandar.
“Saya berharap Pejabat Residen, agensi-agensi kerajaan akan melihat perkara ini dan akan mengumpul produk-produk yang ada di Limbang termasuklah produk malam kebudayaan seperti malam ini untuk disusun atur supaya ia menjadi salah satu tarikan pelancong ke Limbang juga,” katanya lagi.
Oleh Adeng Edrus