WASHINGTON: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai draf resolusi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza pada Selasa, lapor Agensi Anadolu (AA).
Resolusi tidak mengikat itu dibentangkan oleh Mesir dengan 153 undi menyokong pada Perhimpunan Agung 193 anggota yang berhimpun bagi sesi khas tergempar mengenai Palestin.
Sepuluh negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), Israel dan Austria mengundi menentang resolusi itu manakala 23 negara termasuk United Kingdom (UK), Jerman, Itali dan Ukraine berkecuali.
Di samping menuntut gencatan senjata, resolusi itu menyuarakan kebimbangan terhadap “situasi kemanusiaan” di Semenanjung Gaza dan penderitaan orang awam di Palestin.
Resolusi itu turut menekankan bahawa penduduk awam Palestin dan Israel “mesti dilindungi” berdasarkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa sambil menuntut semua pihak untuk mematuhi kewajipan mereka terutamanya mengenai perlindungan orang awam.
Draf resolusi itu juga menuntut “pembebasan segera dan tanpa syarat” semua tebusan serta memastikan akses kemanusiaan.
Pada Oktober, Perhimpunan Agung mengundi menyokong draf resolusi yang menyeru “gencatan senjata kemanusiaan segera dan berterusan yang membawa kepada menghentikan permusuhan” dengan 121 negara menyokong manakala 14 negara menentang termasuk AS dan 44 berkecuali. – Bernama – Anadolu