
LIMBANG: Perguruan Silat Pasak Pupohon muncul johan keseluruhan dalam Kejohanan Silat Tanding yang berlangsung di Stadium Tertutup Limbang baru-baru ini.
Dalam kejohanan itu mereka merangkul tujuh emas , enam perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Silat Tanding Tertutup dan Jemputan 2025 anjuran Perguruan Silat Pasak Pupohan dengan kerjasama Rumpun Silat Sarawak Wilayah Limbang.
Naib johan dimenangi Persatuan Seni Pencak Silat Jalak Tingkor, Lawas yang meraih empat emas, dua perak, dan lima gangsa.
Tempat ketiga pula dimenangi Pertubuhan Pencak Silat Gerak Pusaka, Brunei Darussalam yang membawa pulang dua emas, tiga perak dan tiga gangsa.
Persatuan Seni Silat Tiga Serangkai yang turut mewakili Rumpun Silat Sarawak Wilayah Limbang mendapat tempat keempat sekali gus menerima satu emas, tiga perak, dan tiga gangsa.
Anugerah Pesilat Terbaik Putra di anugerahkan kepada Mohd Abel Aflah dari Pertubuhan Pencak Silat Gerak Pusaka dan Annur Zuyyin Dania Rostanti dari Perguruan Silat Pasak Pupohan menerima Anugerah Pesilat Putri Terbaik.
Turut hadir ialah Pengerusi Rumpun Silat Sarawak Wilayah Limbang Razduan Ibrahim, dan Timbalannya Sahdi Madon serta tetamu lain.
Oleh Adeng Edrus