DEBAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam berharap agar proses tender bagi cadangan pelaksanaan Projek Tebatan Banjir untuk penempatan kampung-kampung Melayu di sini dapat dipercepatkan.
Beliau ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Program My Rakyat anjuran FAMA bertempat di Riveria Sport Centre di sini berkata, tender bagi projek itu seboleh-bolehnya dibuka pada Mei atau Jun tahun ini.
“Terdapat enam penempatan penduduk Melayu di dalam kawasan ini antaranya Kampung Babu Hulu, Babu Hilir, Kampung Bungey Hulu, Bungey Hilir, Kampung Lalang Hulu dan Kampung Lalang Hilir.
“Atas sebab itulah tebatan banjir perlu dibina memandangkan kawasan penempatan penduduk yang sering dilanda banjir pada musim tengkujuh atau ketika berlaku hujan lebat di kawasan hulu Sungai Rimbas bersama air pasang,” kata beliau.
Selain itu, Razi turut memaklumkan kerja-kerja survei di lapangan bagi cadangan pelaksanaan Projek Tebatan Banjir di kampung-kampung penduduk Melayu di sini telah pun selesai dilaksanakan.
Malah cadangan projek berkenaan kata beliau sudah pun dilulus dengan peruntukan sebanyak RM30 juta dan masih sedang dalam proses penyediaan dokumen bagi tujuan tender pada masa sekarang.
“Saya berharap agar projek ini dapat dilaksana dalam kadar segera bagi mengurangkan masalah banjir di enam perkampungan penduduk Melayu di sini pada masa akan datang,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Razi pada sidang media memberitahu projek pembinaan jalan sepanjang 10 kilometer yang menghubungkan kawasan Surie ke Kampung Tuie juga sedang dilaksana pada masa sekarang.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek bernilai RM42 juta itu jelas beliau telah mengalami kelewatan disebabkan oleh faktor penularan pandemik Covid-19 dan juga perubahan terhadap spesifikasi projek.
“Faktor itu telah menyebabkan berlaku penjadualan semula terhadap projek setelah perlaksanaan ditangguh selaam selama enam bulan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lepas.
“Lagi pun perubahan spesifikasi terhadap penggunaan ‘box culvert’ (pembetung) kepada jambatan telah menyumbang kepada pelaksanaan projek berkenaan pada masa sekarang,” kata beliau.
Terdahulu Razi diberi penghormatan melakukan Majlis Pelancaran Program My Rakyat anjuran FAMA bertempat di Riveria Sport Centre bermula dari Sabtu hingga Ahad lepas.
Sejumlah 35 lot jualan hasil tani dan lain-lain produk dibuka di situ dengan FAMA akan kembali mengadakan program tersebut di Riveria Sport Centre berkenaan bermula dari 1 hingga 2 Mei ini.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan kehadiran Penolong Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak, Lois Unggah dengan sejumlah 3,000 pengunjung disasar untuk hadir pada Program My Rakyat.
Oleh VALENTINE NGUMBANG