ADENG IDRUS
LAWAS: Sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak tahun ini diraikan dalam norma baru yang jauh berbeza dengan amalan rakyat negara ini khususnya di Sarawak.
Sehubungan itu rakyat diseru untuk terus bersama memainkan peranan dalam memutuskan rangkaian Covid-19 dan dalam masa yang sama mengukuhkan jalinan hubungan baik antara masyarakat majmuk.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melalui ucapan Gawai Dayak semalam menjelaskan, walaupun tradisi Ngabang pada perayaan kali ini tidak dibenarkan, namun ia akan dapat terus dirayakan bersama keluarga.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak harus menjadi halangan untuk rakyat berhubung di antara satu dengan yang lain dan merayakan sambutan Hari Gawai ini dengan penuh keceriaan melalui platform media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram dan lain-lain.
“Saya berharap semangat perayaan Gawai ini akan dapat terus mempertingkatkan hubungan di antara semua kaum walaupun kita berbeza dari segi kepercayaan agama, budaya dan latar belakang yang berlainan.
“Semangat bekerjasama, hormat menghormati dan hidup dalam keadaan penuh harmoni adalah merupakan identiti kita sebagai orang Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sempena sambutan Hari Gawai yang akan disambut pada Isnin, 1 Jun 2020.
Norma baharu ini harus dipandang dalam sudut positif iaitu memastikan keselamatan, kesihatan semua menjadi keutamaan tetapi keakraban antara rakyat perlu terus diperkukuhkan.
Beliau memberi jaminan kerajaan amat komited untuk memastikan agar sektor ekonomi akan dapat dibangunkan semula demi untuk meneruskan agenda pembangunan yang menyeluruh akan dapat dilaksanakan lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.
“Kita mahu memastikan agar kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan,” tambahnya.
Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari turut mengucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan yang bekerja bertungkus lumus untuk memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 ini dan harus berkerjasama dengan mereka.
Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk mematuhi segala arahan PKPB dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan untuk menghapuskan penyebaran wabak Covid-19 ini.
Melalui disiplin dan kerjasama semua, beliau yakin rangkaian wabak Covid-19 ini mampu diputuskan.