LIGA Perdana Inggeris (EPL) akhirnya sampai di penghujung saingan dalam musim paling lamanya hari ini dan masih banyak perlu dipertaruhkan di tangga teratas dan tiga tempat terbawah liga.
Manchester United dan Leicester masing-masing akan bertarung merebut tempat ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan ketika Chelsea juga berharap akan memastikan tempat mereka dalam kelompok empat teratas.
Wolves dan Tottenham mengidamkan tempat ke Liga Europa (UEL).
Di persada liga pula, hanya satu gol memisahkan Aston Villa daripada zon penyingkiran berbanding Watford di kedudukan tiga terbawah manakala Bournemouth juga ada peluang untuk keluar daripada penyingkiran.
Leicester terkeluar daripada kelompok empat teratas kali pertama sejak September selepas tiga kemenangan dalam 13 perlawanan sejak perintah berkurung.
Namun kegagalan United dan Chelsea untuk menang awal pagi Khamis lalu membuka pintu buat skuad Brendan Rodgers menyelamatkan apa yang mereka usahakan awal musim ini dengan kemenangan di laman sendiri.
Leicester dilanda kecederaan James Maddison, Ben Chilwell dan Ricardo Pereira, tetapi ada seminggu untuk bersedia berbanding jadual padat United.
Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer kelihatan goyah sejak beberapa minggu ini selepas tumpas 3-1 kepada Chelsea pada separuh akhir Piala FA dan seri 1-1 di laman sendiri berdepan West Ham.
United sudah menukar defisit lapan mata berbanding Leicester sejak bola sepak kembali namun Rodgers berharap Red Devils akan merasai lebih tekanan.
“Kami gembira jika berupaya melakukannya tetapi jika anda adalah kelab seperti Manchester United, atau satu daripada antara kelab hebat, mereka perlu berada dalam Liga Juara-Juara untuk banyak sebab,” kata Rodgers. – AFP