
EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Perancis hadir ke Piala Dunia tahun ini sebagai antara pencabar utama untuk menjulang trofi selepas mara ke final dalam dua edisi terakhir, namun lawan pertama mereka pada Selasa, Senegal, menjadi peringatan tentang bahaya sikap terlalu yakin.
Les Bleus memasuki kejohanan 2002 di Jepun dan Korea Selatan sebagai pilihan utama untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi empat tahun sebelumnya.
Namun, akibat kecederaan Zinedine Zidane, mereka dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada Senegal di Seoul sebelum tersingkir pada peringkat kumpulan tanpa menjaringkan sebarang gol.
Ketika itu, Didier Deschamps yang menjadi kapten pasukan juara 1998 dan 2000 sudah bersara daripada bola sepak antarabangsa dan tidak terlibat dalam kegagalan tersebut.
Hampir suku abad kemudian, Deschamps kini menghampiri penghujung tempoh cemerlang selama 14 tahun sebagai jurulatih Perancis.
Pengendali berusia 57 tahun itu akan melepaskan jawatan selepas Piala Dunia ini.
Beliau sedar pendekatan pasukannya yang sarat bintang dalam perlawanan pertama di Stadium MetLife, dengan latar belakang bangunan pencakar langit Manhattan, amat penting.
“Perlawanan pertama sangat penting tetapi bukan penentu. Memulakan saingan dengan kemenangan dalam kumpulan empat pasukan adalah situasi ideal dan sentiasa menjadi sasaran,” kata Deschamps kepada media pada Isnin.
“Namun, satu perkara yang tidak boleh diukur ialah aspek emosi. Ada pemain yang mungkin berasa tertekan dengan suasana perlawanan.
“Keadaan ideal ialah kekal fokus tetapi pada masa sama tenang.”
Menurutnya, Senegal merupakan “lawan yang sangat, sangat berkualiti”.
Bulan lalu, Deschamps turut mengakui kurang senang dengan ramalan terlalu awal yang meletakkan Perancis di final.
“Orang ramai sudah bercakap mengenai kami berada di sana pada 19 Julai dan saya tidak suka perkara itu, langsung tidak suka,” katanya merujuk kepada tarikh final Piala Dunia.
“Ya, kami mungkin antara pasukan terbaik, tetapi saya tahu masih banyak langkah penting yang perlu ditempuh sebelum boleh memikirkan sejauh itu.”

Perancis tiba di kem latihan mereka di Boston Rabu lalu selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Ireland Utara dalam aksi pemanas badan terakhir, dengan Michael Olise meledak hatrik.
Namun mereka turut menerima amaran awal apabila tewas 2-1 di laman sendiri kepada Ivory Coast, satu-satunya kekalahan dalam tempoh setahun terakhir.
Perancis mara ke final dalam empat daripada tujuh edisi Piala Dunia terakhir, memenangi dua daripadanya dan tewas dua lagi menerusi penentuan penalti.
Selepas muncul juara di Russia pada 2018, mereka dinafikan gelaran kedua berturut-turut oleh Argentina menerusi penentuan penalti di Qatar pada 2022.
Mbappe berpeluang atasi Pele
Beberapa wajah baharu diperkenalkan sejak itu, termasuk pemain sayap berbakat Michael Olise yang dijangka beraksi sebagai pemain nombor 10.
Beliau melengkapkan trio serangan digeruni bersama pemenang Ballon d’Or Ousmane Dembele di sebelah kanan dan kapten pasukan Kylian Mbappe sebagai penyerang utama.
Penyerang Real Madrid itu yang bakal memperoleh kaps ke-99 menentang Senegal kini menyamai rekod Pele sebagai penjaring keenam terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia dengan 12 gol.
Hanya Miroslav Klose, Ronaldo, Gerd Mueller, Just Fontaine dan Lionel Messi memiliki jumlah gol lebih banyak.
Mbappe menjaringkan empat gol pada 2018 dan lapan gol pada 2022 termasuk hatrik dalam perlawanan akhir.
Pilihan serangan Perancis turut diperkuatkan oleh Rayan Cherki, Bradley Barcola, Desire Doue, Marcus Thuram, Jean-Philippe Mateta dan Maghnes Akliouche.
Di bahagian pertahanan, mereka mempunyai gandingan mantap William Saliba dan Dayot Upamecano, selain barisan tengah yang diterajui Aurelien Tchouameni.
“Ini Piala Dunia kedua saya. Pada 2018 semuanya baharu dan sangat indah untuk dimenangi. Kali ini berbeza,” kata pemain tengah veteran N’Golo Kante.
“Kami mempunyai ramai pemain baharu, tetapi ia tetap sesuatu yang istimewa. Saya benar-benar mahu menikmatinya dan memenangi gelaran sekali lagi.”
Sebagai antara empat pasukan ranking tertinggi dunia, Perancis diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam undian, namun laluan mereka ke pusingan seterusnya bukan mudah.
Mereka perlu terlebih dahulu melepasi cabaran Senegal sebelum berdepan Iraq dan seterusnya bertemu Norway yang dibarisi penyerang berbisa Erling Haaland dalam Kumpulan I yang sukar, di mana sebarang sikap sambil lewa boleh mengundang padah. — AFP