Perahu Terawan Mulu dinobatkan Raja Batang Sungai Batang Baram

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MARUDI: Perahu Terawan Mulu (Benerang) dinobatkan sebagai Raja Sungai Batang Baram selepas muncul juara kategori Kayuh Tidak Terhad pada Regata Baram 2026 yang melabuhkan tirainya petang semalam.

Kemenangan itu membolehkan Terawan Mulu membawa pulang wang tunai RM25,000 berserta trofi yang disampaikan oleh Pengerusi Induk Regata Baram yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil.

JUARA…Datuk Dr Penguang Manggil menyampaikan hadiah kepada pasukan juara, perahu Terwan Mulu yang dinobatkan Raja Batang Baram. Foto Jiku Juguong

Selain itu, Terawan Mulu turut meraih hadiah wang tunai RM10,000 selepas menjuarai kategori Piala Etnik Gemilang Yayasan Perpaduan Sarawak.

Naib juara kategori Raja Sungai Batang Baram disandang oleh Singgah Tagal 2, yang menerima wang tunai RM8,000 berserta trofi, manakala Laikin Belaga 3 di tempat ketiga membawa pulang RM6,000 serta trofi.

Tempat keempat dimenangi oleh Terawan Mulu (Ular Kenyalang 6) yang menerima hadiah wang tunai RM4,000, manakala Taming Sari N.76 menduduki tempat kelima dengan hadiah RM3,000.

DATUK Dr Penguang Manggil bergambar kenangan bersama pasukan Terawan Mulu (Benerang) Foto Jiku Juguong

Sementara itu, bagi kategori Kayuh Tidak Terhad Piala Premier Sarawak (Terbuka), kejuaraan menjadi milik Laikin Belaga. Singgah Tagal 1 muncul naib juara, diikuti Taming Sari N.76 (Staria Sakti) di tempat ketiga.

Tempat keempat dan kelima masing-masing disandang oleh SPTB Brunei dan Terawan Mulu/Benerang 4.

Oleh Jiku Juguong