SONG: Enam terselamat, manakala seorang lagi masih hilang selepas perahu dinaiki mereka karam berhampiran muara Sungai Song, malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Janggan Muling berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar 11.17 malam.
“Semasa membuat rondaan Monsun Timur Laut (MTL), komander operasi telah menerima laporan dari bilik kawalan BBP Song bahawa terdapat perahu karam berhampiran muara Sungai Song.
“Komander operasi mengarahkan anggota untuk bersiap sedia di Pengkalan Wharf Song sambil menunggu pemakluman daripada orang awam yang telah pergi ke muara Sungai Song menggunakan perahu sama ada benar ataupun tidak berkenaan laporan tersebut.
“Setelah itu, didapati benar ada sebuah perahu karam dan terdapat tujuh orang mangsa dan enam orang mangsa berjaya ditemui orang awam, manakala seorang orang hilang,” jelasnya menerusi satu kenyataan, sebentar tadi (malam tadi).
Katanya, anggota bertindak menenangkan enam mangsa yang selamat dan dibawa naik ke pengkalan wharf menggunakan ‘stretcher’ seterusnya diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah mengambil maklumat berkenaan mangsa, komander operasi mengarahkan anggota bertolak balik ke balai dan operasi ditangguhkan pada 12.45 tengah malam.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa yang masih hilang diteruskan hari ini,” ujarnya.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR