Jerebu: Ibu bapa boleh pertimbang kesesuaian anak hadir ke sekolah

Facebook
WhatsApp
Foto hiasan.

KUCHING: Ibu bapa dan penjaga mempunyai pertimbangan serta tanggungjawab untuk menentukan sama ada anak masing-masing sesuai hadir ke sekolah atau kekal di rumah ketika situasi jerebu melanda Sarawak.

Pengarah Pendidikan, Omar Mahli berkata, perkara itu khususnya perlu mengambil kira keadaan kesihatan dan keselamatan anak masing-masing.

“Sebarang keputusan berkaitan pembukaan atau penutupan sekolah dibuat berdasarkan surat pekeliling, garis panduan serta pertimbangan sewajarnya.

“Keputusan tersebut turut mengambil kira kepentingan dan keadaan murid serta ibu bapa daripada pelbagai latar belakang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, situasi jerebu yang melanda Sarawak memerlukan semua pihak untuk terus tenang, matang dan saling memahami.

“Ibu bapa, penjaga, guru dan pihak sekolah perlu saling menghormati pertimbangan masing-masing dengan matlamat utama memastikan keselamatan dan kesihatan murid terpelihara.

“Matlamat kita sama iaitu memastikan anak-anak selamat, sihat dan pendidikan terus berjalan sebaik mungkin,” jelasnya.

Omar turut merakamkan penghargaan kepada guru atas keprihatinan terhadap pendidikan serta kebajikan anak-anak murid dalam menghadapi situasi jerebu.

“Saya menyeru semua pihak supaya menghadapi keadaan itu dengan tenang, rasional dan penuh tanggungjawab,” ujarnya.

Untuk rekod, sekolah yang terjejas akibat jerebu di Sarawak akan dibuka semula mulai esok, 14 September selepas ditutup sementara sejak 7 September lalu. 

Penutupan berkenaan dilaksanakan susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) ke tahap tidak sihat dan berbahaya di beberapa kawasan, dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah.

Sebanyak 647 sekolah membabitkan 563 sekolah rendah dan 84 sekolah menengah di 12 daerah terlibat dalam penutupan selama lima hari sehingga 11 September lalu. 

Pembukaan semula sekolah mulai 14 September dibuat berdasarkan perkembangan terkini kualiti udara dan pertimbangan pihak berkuasa, dengan tindakan lanjut bergantung kepada keadaan IPU semasa.

Oleh Masrin Affirah