Penyertaan perlumbaan perahu kayuh dan bot laju meriahkan Regata Baram 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATO Dennis Ngau menyempurnakan perlumbaan bot laju kategori 50 kuasa kuda. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Sebanyak RM300,000 hadiah wang tunai ditawarkan bagi acara perlumbaan perahu kayuh dan pertandingan bot laju sempena Regata Baram 2026 yang berlangsung tahun ini.

Penasihat Jawatankuasa Penyelaras Perlumbaan Regata Baram 2026 yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, jumlah hadiah bagi kedua-dua acara berkenaan meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, penyertaan bagi perlumbaan bot laju pada hari kedua penganjuran regata itu mendapat sambutan menggalakkan apabila sebanyak 162 peserta dari seluruh Sarawak mengambil bahagian, termasuk peserta dari Negara Brunei Darussalam.

PESERTA dari Kapit merangkul gelaran juara bagi kategori pertandingan bot laju 50 kuasa kuda.

“Apa yang istimewa pada kali ini ialah penambahan satu acara baharu, iaitu perlumbaan bot laju 50 kuasa kuda yang diadakan atas permintaan peserta,” katanya.

Menurut beliau, Regata Baram tahun ini turut menampilkan satu lagi kategori baharu bagi acara perahu kayuh, iaitu penyertaan pekayuh campuran lelaki dan wanita. 

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah penyertaan bagi acara perahu kayuh juga menggalakkan apabila sebanyak 63 perahu mengambil bahagian dalam 22 kategori perlumbaan.

Tambah Dennis, perlumbaan kategori perahu bagi saingan tertutup Baram dan terbuka juga akan berlangsung mulai esok.

Oleh Jiku Juguong