KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan Internet (ISP) dikehendaki mengambil langkah sewajarnya bagi menghalang perlakukan jenayah di platform mereka dan menghapuskan sebarang ancaman dalam talian dengan segera berikutan peningkatan aduan awam berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia memandang serius perkara ini dan meminta ISP menyediakan laporan bersama pelan tindakan menangani isu kandungan dalam talian yang menyalahi undang-undang.
“ISP juga diminta menggariskan rancangan masa depan mereka untuk meningkatkan keupayaan dalam memerangi ancaman dalam talian, memastikan keselamatan maklumat dan mengekalkan integriti rangkaian,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC antara aspek yang ditekankan berhubung ancaman dalam talian adalah penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak, perjudian dalam talian, kandungan yang menggugat kestabilan kaum dan kepentingan agama, penghinaan terhadap institusi Diraja, penipuan dan ‘phishing’.
Selain itu, penjualan dan promosi dadah serta bahan terlarang, penyamaran, penyebaran maklumat dan berita palsu, serta penjualan produk kesihatan tanpa lesen.
Dalam memenuhi kewajipan dan tugas di bawah Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), menurut kenyataan itu ISP dikehendaki memberikan komitmen sepenuhnya untuk menghalang perkhidmatan yang mereka sediakan daripada digunakan untuk melakukan sebarang kesalahan, dan untuk mencegah pelakuan atau percubaan melakukan sesuatu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.
Menurut MCMC, untuk itu komitmen ISP diperlukan dalam memperuntukkan sumber yang mencukupi dan kepakaran untuk memastikan keperluan Seksyen berkenaan dipenuhi.
Akta itu juga menghendaki ISP melaksanakan sebarang permintaan dan arahan daripada MCMC dalam dalam mencegah pelakuan atau cubaan melakukan sesuatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis Malaysia atau sebaliknya dalam menguatkuasakan undang-undang Malaysia, termasuk tetapi tidak terhad, kepada perlindungan hasil pendapatan awam dan pemeliharaan keselamatan negara.
Mengikut Seksyen 244 AKM 1998, bukan sahaja organisasi itu sendiri tetapi juga pengarah, ketua pegawai atau individu yang mentadbir syarikat mungkin berdepan pertuduhan jika mereka dengan sengaja melakukan aktiviti jenayah selepas dimaklumkan.
“Peruntukan ini bertujuan mengelakkan penyalahgunaan platform Internet untuk tujuan yang menyalahi undang-undang,” menurut kenyataan itu. – Bernama