
JULAU: Penurunan jumlah murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Assam daripada 29 murid pada tahun lalu kepada 22 murid pada tahun ini menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan sekolah sekiranya trend tersebut tidak dapat dibendung.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, penyusutan pendaftaran bukan sahaja memberi kesan kepada peruntukan yang diterima sekolah, malah berpotensi menjejaskan penyediaan kemudahan dan sumber pendidikan sekiranya keadaan itu berterusan.
“Sekolah luar bandar memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak di kawasan pedalaman mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
“Justeru, usaha mengekalkan pendaftaran murid perlu menjadi tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya ketika berucap pada program Ngiling Tikai SK Lubok Assam, baru-baru ini.

Katanya, semua pihak termasuk ibu bapa dan komuniti setempat perlu memainkan peranan bagi memastikan sekolah luar bandar terus mendapat sokongan serta kekal beroperasi demi kepentingan pendidikan anak-anak.
“Ibu bapa juga digalakkan memanfaatkan kemudahan asrama yang disediakan kerajaan walaupun mereka bekerja atau menetap di kawasan lain.
“Sekiranya kemudahan tersebut tidak dimanfaatkan akibat kekurangan murid, ia bukan sahaja mengakibatkan pembaziran sumber awam, malah boleh memberi implikasi terhadap operasi sekolah pada masa depan,” katanya.
Tambahnya, pelbagai kemudahan telah disediakan kerajaan kepada murid yang tinggal di asrama bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
“Kerjasama erat antara ibu bapa, komuniti setempat dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan sekolah luar bandar terus berfungsi sebagai institusi pendidikan yang mampu melahirkan generasi berilmu serta menjadi pemangkin pembangunan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut menyampaikan geran berjumlah keseluruhan RM64,800 kepada beberapa penerima bagi menyokong pembangunan pendidikan dan komuniti setempat.
Antara penerima adalah SK Lubok Assam, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Julin, JKKK Rumah Denish dan JKKK Rumah Rantai.
Oleh Earl Anek