SIBU: Seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an mengalami kerugian RM13,180 selepas terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa yang merupakan penuntut di sebuah universiti swasta ditawarkan komisen.
Katanya, pada 22 Oktober lalu, mangsa telah membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Sibu dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pada 21 Oktober lalu, mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp Wealth Wise Events Y12 yang menawarkan kerja sambilan dalam talian.
“Oleh kerana berminat untuk mendapatkan komisen sebanyak 5 peratus bagi kerja yang ditawarkan, mangsa kemudian telah berurusan dengan suspek.
“Mangsa diarahkan untuk membuat tugasan dengan membuat pindahan wang ke akaun bank yang diberikan dan dijanjikan pulangan wang semula berserta komisen.
“Setelah berjaya menyiapkan tugasan dan memperoleh komisen sebanyak RM319.56, suspek mengarahkan mangsa untuk membuat tugasan selanjutnya.
“Pada 22 Oktober lalu, mangsa telah membuat empat kali pindahan wang ke dalam tiga akaun bank tempatan berjumlah RM 13,180 bagi tujuan melengkapkan tugasan yang diberikan untuk mendapatkan komisen yang dijanjikan.
“Mangsa dimaklumkan komisen akan dikreditkan ke dalam akaun mangsa pada hari yang sama.
“Namun sehingga laporan dibuat, mangsa tidak menerima komisen tersebut dan sedari telah tertipu. Oleh itu mangsa hadir ke balai Polis untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Zulkipli berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
Orang ramai hendaklah membuat semakan yang terperinci dengan Syarikat / Agensi yang berkaitan sebelum memohon / menerima apa jua tawaran kerja yang meragukan.
Katanya, untuk sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/
Oleh Tarani Lanting